Bini Aku Tomboy Ke?

Karya Dari Arisa Eriza

APA KATA WATAK?


"Tak apa. Kalau aku jadi hantu, senang aku nak datang cari kau. Tak payah naik kereta and ketuk pintu rumah kau. Aku datang terbang melayang aje, putih-putih. Nanti kalau ada benda putih ketuk tingkap rumah kau, kau jangan tak bukak pulak, ya?"

APA KATA WATAK?


"Woi! Cekadak kering! Apa kes kau nak ajak-ajak aku keluar pulak ni, hah? Kau dah ada awek, buatlah cara dah ada awek! Setia pada yang satu!" Zack menjerit kuat di dalam kereta selepas dia menghubungi Azim.

Bini Aku Tomboy Ke? - Bab 15

16

ESOKNYA, selepas solat Subuh, Zack segera mencapai handphonenya dan menghubungi Abang Din sekali lagi. Hatinya gelisah. Perasaannya bercampur baur, tak dapat dibayang bagaimana lagi. Uhh! Mana orang tua ni? Aku tak nak kahwin dengan Azim! Aku tak cintakan dia! Aku tak nak!!!

Setelah puas mendail, handphone pun sampai dah nak naik bengong, Zack mengambil keputusan untuk ke rumah Abang Din. Dia sendiri hairan kenapa hatinya meronta-ronta untuk bercakap dan meluahkan perasaannya ketika itu kepada Abang Din. Padahal, mama pun ada kalau setakat nak meluahkan perasaan.

Selepas bersiap, dengan hati yang tidak keruan, Zack ke rumah Abang Din. Namun rumahnya berkunci. Siap locked dengan mangga besar lagi! Zack penat mengetuk pintu dan menjerit memanggil nama Abang Din. Namun tiada siapa yang menjawab. Zack pun mula merenung-renung ke dalam rumah melalui lubang-lubang yang ada.

"Karang aku letupkan pintu rumah ni baru tau." Zack bising sendiri.

Dinding papan rumah Abang Din itu diketuk-ketuk dan ditampar kuat sesuka hati. Habis ditawaf keliling rumah kerana nak meneropong ke dalam, tetapi sekali lagi dia hampa. Mana dia?? Uhh! Abang Din!

"Nak, kenapa ni? Awal pagi dah terjerit-jerit kat sini? Cucu nenek nak tidur, nak." Tiba-tiba muncul seorang nenek tua menjengukkan kepalanya dari arah tingkap kayu yang diselak sedikit. Rambutnya tersisir rapi dan disanggul. Wajahnya tetap berseri walaupun sudah menginjak tua.

"Minta maaf, nek. Saya cari tuan rumah rumah ni. Tapi, dari tadi tak ada orang pun yang bukak pintu. Dia ke mana ya, nek?" Zack bertanya penuh sopan, padahal dah termalu sendiri kena perli oleh nenek itu tadi. Rambutnya yang tidak disapu jel itu, dikuis ke atas kerana terjuntai dan mengganggu pandangannya.

Mata nenek tua itu dikecilkan sekecil mungkin, sedang berusaha merenung rumah mana yang dimaksudkan oleh Zack. Maklumlah, semakin tua, kanta mata pun menjadi semakin kabur. Tetapi, anak-anak muda sekarang ni pun ramai yang dah rabun walaupun umur tidak sampai setahun jagung.

"Oh, anak cari Din ya?" Nenek itu bertanya ramah.

"Ya, nenek. Rumah Abang Din." Zack menjawab perlahan. Matanya dikelipkan dua kali kerana terasa pedih apabila rambutnya ditiup angin sepoi-sepoi bahasa dan masuk ke dalam anak matanya.

"Ya, ya. Din. Nenek kenal dia. Orangnya baik, bersopan. Mari sini, nak. Masuk dulu." Nenek tua itu pun menutup sedikit tingkap yang dikuak tadinya dan berlalu.

Allah! Dia ajak masuk rumah dia pulak dah. Zack berbisik sendiri. Menyesal sedikit pun ada kerana membuat bising sehingga mengganggu ketenteraman nenek itu dan orang lain di kawasan setinggan itu.
Kedengaran bunyi derap kaki nenek tua itu menuju ke arah pintu masuk di depan. Zack pula masih ragu-ragu, apa patut dia buat? Kenapa nenek ni baik hati sangat nak ajak aku masuk rumah dia pulak dah? Berfikir-fikir sejenak, takkan aku nak biar macam tu je, kecil pula hati dia nanti, sedih pulak. Dah la tua sudah, sekali kalau aku tolak tak nak masuk, disumpahnya aku jadi anak katak kodok, tak ke naya? Eh, mengarut bukan-bukan pulak.

Disebabkan rasa hormat dan sebagai penghargaan kepada warga tua. Emm... Zack pun mengambil keputusan, tak mengapalah kalau dia menghabiskan masa sebentar dengan nenek itu. Mungkin boleh juga mengubati kerinduannya sedikit pada arwah neneknya yang sudah tiada.

Bunyi pintu berkarat dibuka perlahan kedengaran. Mesti dah lama tak letak minyak gris dekat engsel pintu dia ni! Gerenti dah berkarat gila! Tinggal tak tercabut aje lagi pintu tu! Zack terfikir-fikir sejenak sebelum terdengar suara nenek tua tadi berkata.

"Sini, nak. Masuklah dulu ke dalam." Nenek tadi sudah terbongkok sedikit belakangnya. Dengan wajah penuh keibuan, wajah Zack ditatap dalam.

"Tak apa, nek. Saya duduk dekat sini ajelah, ya?" Zack cepat-cepat meletakkan punggungnya ke atas kerusi plastik kecil yang ada di hadapan rumah nenek itu. Eh, eh... nasib tak terbalik ke belakang! Kalau tak, buat malu aje!

Kerusi kecil itu ditenungnya. Kecil yang betul-betul punya kecil! Rendah yang sebetul-betul rendahnya! Mesti kerusi cucu dia ni. Mahu sakit pinggang and lutut aku nanti! Siapa suruh tak nak masuk dalam rumah, padan lah kalau nak sakit segala urat pun! Zack bising di dalam hati.

"Anak dah makan pagi belum?" Nenek yang berdiri tadinya, sudah pun duduk bersimpuh di atas lantai rumahnya yang hanya berlapikkan karpet getah berbunga merah kuning. Eh, macam karpet getah rumah lama arwah nenek kati aje. Hu hu hu... Zack ketawa sendirian di dalam hati.

"Emm... belum, nek. Tak sempat tadi nak makan." Zack menjawab lambat-lambat, takut pulak dibebelnya aku nanti!

"Mana boleh macam tu, nak. Kita kena sarapan, sebab sarapan tu penting bagi memulakan hari yang bersemangat dan aktif!" Nenek tadi menjawab kuat beserta dengan semangat wajanya.

Ha, apa nak kata lagi, kan aku dah kata, gerenti kena bebel punya! Dah la tu, nasihatnya sebijik semacam ahli Kementerian Kesihatan Malaysia! Expert betul nenek ni walaupun dah tua!
"Ya, nek. Cu.." Zack tak sempat menyambung kata-katanya lagi, terus dicantas cepat oleh nenek itu.

"Kita ni kena banyakkan makan ulam-ulam. Macam pegaga, atau pun nama lainnya Centella asiatica, sebabnya pegaga dengan ulam-ulam yang lain tu banyak khasiatnya. Pegaga ni ada protein, gentian, zat besi, vitamin A dan C. Boleh buat awet muda, tak bagi gemuk, kurangkan darah tinggi, panas badan dan banyak lagi. Anak boleh search dalam Internet. Anak selalu makan ulam tak?"

Zack menelan air liurnya. Matanya dikelip-kelipkan sepuluh kali dalam masa lima saat. Mak aiii... nenek ni! Celik secelik-celiknya pasal IT dan yang seangkatan dengannya! Biar benar. Siap suruh aku search dalam Internet lagi! Gilalah! Tak padan dengan tuanya, ni boleh jadi pakar ni!

"Tak, nek. Jarang-jarang saya makan. Selalu makan sayur biasa-biasa aje, nek." Zack membalas lembut. Matanya merenung segenap muka nenek itu. Tetap cun! Masa muda-muda mesti ramai peminat, tak pun jadi Ratu Kebaya. Hu hu hu... Zack mentelah sendirian di dalam hati.

"Apa saya nak panggil nenek, ya?" Zack terlupa mahu bertanyakan nama nenek itu setelah sekian lama duduk bersembang di situ.

"Panggil Nek Lia aje, nak. Nenek dah tua. Dah masuk 80 dah tahun ni." Nek Lia menjawab selamba sambil tangannya mengutip-ngutip sampah sarap kecil di atas lantai dan membuangnya ke luar.
Sekali lagi Zack terkedu dan terpesona. Terkejut dan semua ter pun ada di dalam hatinya. Tak kusangka nenek yang umurnya sudah lanjut ini, kelihatannya seperti nenek yang masih muda. Semacam jangkaan aku awal-awal tadi, umur dia sekitar 60-an, rupa-rupanya tua 20 tahun daripada jangkaan aku tu!

"Maknanya, Nek Lia sempat jumpa dengan orang Jepunlah ya?" Zack bertanya selepas mencongak-congak. Entah betul tidak congakannya tu. Seronok pulak bersembang dengan nenek ni.

"Ya, nak. Jepun datang tahun 1942, sampai tahun 1945. Tiga setengah tahun Jepun jajah Tanah Melayu masa tu."

Wow, nenek ini ingat sejarah-sejarah ni! Aku sendiri yang muda gila, banding dengan dia pun tak boleh ingat tahun bila Jepun datang ‘melepak’ kat Tanah Melayu ni!

"Masa tu, umur nenek baru tiga belas tahun. Umur nenek dah layak kahwin, jadinya emak nenek pun kahwinkan nenek dengan arwah suami nenek yang tua tiga tahun daripada nenek. Tak sampai setahun lebih kurang, Jepun pun datang. Masa tu nenek tengah mengandung empat bulan."




"ADINDA! Adinda! Kekanda mendapat berita daripada ketua kampung, kekanda akan mendapat gaji yang lumayan sekiranya kekanda bekerja dengan tentera Jepun!" jerit suami Nenek Lia penuh semangat selepas pulangnya dia daripada menghadiri sebuah perjumpaan dengan ketua kampung di Kampung Baru, Pasir Mas, Kelantan.

"Benarkah, kekanda? Kerja apakah tu?" Nenek Lia pun tidak dapat menahan kekobaran semangatnya mendengarkan apa yang dikatakan oleh suaminya, memandangkan keluarga mereka sangat susah ketika itu kerana dipaksa menanam ubi keledek dan tanaman lainnya oleh tentera Jepun. Suaminya juga tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tidak mendapat gaji yang lumayan.

"Benar! Akan tetapi, kekanda harus meninggalkan adinda di sini, kerana kekanda perlu ke Nong Pladuk di Siam (Thailand) bagi membina landasan kereta api...." Suaminya berkata perlahan. Di dalam hati, timbul juga perasaan sedih dan berbelah bahagi kerana terpaksa meninggalkan isterinya yang baru sahaja mengandung itu.

Kegembiraan Nenek Lia tadinya hilang begitu saja selepas mendengar kata-kata suaminya. Kesedihan dan kekecewaan mula mengambil tempat di hatinya.

Dia yang sedang melipat kain baju yang baru diangkat dari ampaian, segera berdiri dan berjalan menuju ke tepi tingkap. Dia merenung keluar. Kosong. Dapat dibayangkan hari-harinya tanpa suami di sisi. Air matanya mula keluar dan mengalir perlahan di pipi.

"Jangan bersedih, adinda. Cinta kanda tetap untuk dinda. Percayalah! Selamanya akan sebegitu. Kanda perlu keluar mencari rezeki untuk kita dan juga anak yang bakal lahir ini nanti." Suaminya menatap lembut wajah si isteri yang sudah pun dicemari air mata. Tangannya segera menyentuh dagu isterinya itu dan mengelap air mata yang tumpah.

"Dinda akan mati kesunyian seorang diri di sini, kanda." Air matanya tidak dapat dibendung lagi, selepas satu titik, titik lain pula mengikuti. Seakan empang tenaga hidroelektrik pecah, air mata yang jernih itu tetap turun apatah lagi selepas dirinya dipeluk kuat suaminya. Bertambah-tambahlah hatinya meronta-ronta agar suaminya tidak meninggalkannya sendiri.

"Tak mengapa. Ibukan ada sebagai peneman dinda di sini?" Suaminya yang bernama Ahmad dan dipanggil dengan panggilan Mat itu tidak putus-putus memujuk isterinya. Dia perlu keluar dan berkorban untuk kesenangannya dan juga isterinya itu. Apatah lagi anak mereka berdua bakal lahir tidak lama lagi jika diizinkan Tuhan.

Akhirnya, Nenek Lia pun bersetuju untuk melepaskan suaminya pergi walaupun hatinya begitu berat untuk melepaskan. Baru sahaja cintanya berputik dan disemai kepada suaminya itu, tidak sempat mengecap nikmat cinta sepuasnya, dia terpaksa pula berpisah dengan suaminya itu. Betapa berat beban itu dirasakan.

"Jangan tinggalkan dinda lama-lama di sini, kanda." Nenek Lia berkata seakan merayu. Matanya dirasakan begitu pedih dan bengkak kerana asyiknya dia menangis mengenangkan suami yang akan pergi meninggalkannya.

"Kanda janji akan pulang awal, insya-Allah. Kanda pergi untuk kesenangan kita juga nanti. Dinda jaga diri baik-baik. Jangan tinggalkan solat dan mengaji al-Quran." Pesan Ahmad selepas dia mengucup dahi isterinya.

"Kanda juga begitu. Jangan lupakan dinda di sini!" Keluhan dan tangisan mengiringi pemergian suaminya. Tinggallah dia bersama kandungannya yang masih baru itu ditemani ibunya di sebalik ketakutan keganasan tentera Jepun.




AHMAD bersama rakan-rakannya pun menaiki kereta api untuk ke Nong Pladuk di Kanchanaburi bagi membina landasan kereta api di situ sehingga ke Thanbyuzayat di Burma ( kini Myanmar). Perjalanan ke sana yang begitu perit dan susah memakan masa selama beberapa hari, memang mencabar kesabaran Ahmad. Mereka semua tidak diberi makanan yang cukup oleh tentera Jepun, malahan terpaksa berlapar dan meminta makanan daripada rakan-rakan yang ada.

Dari Palekbang, Tumpat, dia bersama rakan lain menuju ke Sungai Golok sebelum meneruskan perjalanan ke Haadyai dan akhirnya sampai ke Nong Pladuk. Di dalam kereta api, mereka semua ditindik telinga, disuntik dan dimasukkan sejenis ubat ke dalam dubur. Katanya, suntikan itu bertujuan untuk menahan penyakit manakala ubat yang dimasukkan melalui dubur adalah untuk menahan daripada membuang air besar ketika dalam perjalanan.

Setibanya di sana, barulah Ahmad menyedari bahawa dia dan rakan-rakannya sudah ditipu oleh ketua kampung. Makanan pun tidak diberi, apatah lagi gaji seperti yang diuar-uarkan sebelumnya. Rasa sesal mula menyelubungi segenap jiwa.

Ramai rakan-rakannya yang meninggal dunia akibat tidak cukup makan dan dipaksa bekerja oleh tentera Jepun. Pelbagai penyakit dihidapi pekerja-pekerja di situ bagi menyiapkan landasan kereta api sepanjang 415 kilometer itu.

"Akhirnya, nek? Apa jadi dengan suami nek?" Zack bertanya dengan mata sebulat guli. Excited gila!

"Dia dapat lari, tu pun dengan bantuan mandur Burma dekat situ. Alhamdulillah, dia selamat pulang. Empat puluh dua ribu orang buruh paksa lain, yang kena bina landasan kereta api maut tu hilang. Katanya, mati kat sana." Nenek Lia membalas lembut. Tangannya mengusap-usap pipinya yang agak kering itu.

"Innalillahiwainnalillahirajiun...." Zack berkata perlahan sambil menggeleng-gelengkan kepala. Tidak disangka rupa-rupanya ada kejadian yang mengerikan dalam sejarah Tanah Melayu ni.

"Yang paling ramai ke sana orang Melayu. Enam puluh peratus Melayu, dua puluh peratus India, lima belas peratus Cina. Selebihnya tu kaum-kaum lain. Sebab tu la kita kena hargai negara kita yang dah merdeka ni. Zaman penjajahan dulu memang hidup sangat-sangat susah dan menderita," cerita Nenek Lia penuh semangat.

"Ooo... habis tu macam mana nenek boleh pindah ke sini?" Zack bertanya, kerana menurut Nenek Lia, dia berasal dari Kelantan. Terkadang ada jugak terkeluar loghat Kelate dari mulutnya ketika rancak bercerita itu dan ini tadinya.

"Oh, nenek pindah sini sebab nak tolong tengok-tengokkan cucu. Rumah dulu masih ada kat sana, adik nenek yang duduk." Tak lama kemudian, nenek itu pun bangun dan berjalan laju ke belakang, seolah-olah masih muda lagi lagaknya.

"Anak tunggu kejap. Nenek ambilkan air. Kesian anak tak makan lagi." Nenek Lia hilang di sebalik tirai yang menutup bahagian belakang.

Zack bangun dan mengeliat. Membetulkan urat sarafnya yang terasa macam dah tergeliat sikit disebabkan duduk di atas kerusi yang amatlah tidak sesuai bagi orang besar dan agak dewasa sepertinya. Badannya digoyang-goyang dan bahunya diurut-urut sendiri. Terdengar bunyi meletup di lutut. Hu hu hu... kena balik buat stretching la gamaknya lepas ni.

Zack menjenguk-jengukkan kepalanya ke dalam rumah Nenek Lia. Di satu sudut, kelihatan satu kotak TV lama diletakkan di atas sebuah almari kayu yang dah berlubang-lubang. Mungkin kena gerik dek cik ti berbulu kelabu, tak pun kena kopak budak-budak kecil. Bertentangan dengan almari TV tersebut, ada pula diletakkan kusyen lusuh berlapikkan kain berwarna coklat.

Aku tak tau memang semula jadi sofa tu warna macam tu, atau pun asalnya warna putih, tapi dah dicampur bermacam perisa contohnya air milo tak pun kopi dan diblend segala-galanya, akhirnya menjadilah ia seperti itu.

Sebab nak kata memang warnanya warna coklat, pelik jugak sebab ada nampak tompok-tompok putih di balik warna coklat tu. Entah, aku tak tau. Kalau tanya tuan rumah, insya-Allah dia tau! Zack termenung dan kehairanan seorang diri di situ.

Eh, dah terlupa niat sebenar aku datang sini. Niatnya datang sini nak cari Abang Din. Alih-alih terus sampai ke zaman Jepun pulak.

Dari jauh, kedengaran seperti gelas dikacau menggunakan sudu dengan kuat, ala-ala mamak membancuh teh tarik. Tak sampai dua minit kemudiannya, keluarlah Nenek Lia dengan menatang sebuah dulang yang diletakkan segelas air dan sepinggan kek batik. Terliur Zack merenung ke arah dulang yang ditatang Nenek Lia itu. Dah lama dia tak merasa kek batik ni! Rezeki aku datang sinilah gamaknya.
Zack senyum lebar pada Nenek Lia yang sudah pun meletakkan dulang tadi di atas meja kecil di ruang tamu itu.

"Jemput, nak. Masuklah dulu." Kali kedua orang tua tu ajak masuk. Akhirnya Zack pun masuk kerana tak sabar nak merasa kek batik! Dia duduk bersimpuh di sebelah Nenek Lia. Cepatlah cakap jemput makan, nek. Tak sabar ni! Perut pun dah lama pedih-pedih sebab lapar. Matanya dikelip-kelip memandang ke arah Nenek Lia dan kek batik bersilih ganti.

"Kenapa duk direnungnya kek tu? Makan la nak."

Yes! Sayang nenek lebih. Hu hu hu... apa lagi, sepantas kilat kek batik itu disambar dan ditelan. Umm... nikmatnya. Alhamdulillah... sedap!

"Lapar ya, nak? Maaf la... nenek tak ada makanan berat nak dijamu. Nasi pun tak masak lagi." Nenek Lia tersenyum melihatkan Si Zack begitu bersemangat menelan kek batik yang baru dibuat pagi tadi.

"Uhh... tak apa, nek. Bersyukur dengan apa yang ada." Zack berkata kuat dengan mulut penuh dengan kek sambil tangannya menyambar gelas berisi air teh O panas dan diteguk laju sehingga tersedak.
Astaghfirullah... budak ini memanglah tak reti nak bersopan masa makan!

"Allah! Pelan-pelan, nak..." kata Nenek Lia sambil mengurut-urut belakang Zack perlahan.

"Nak air lagi?" Nenek Lia bertanya penuh kasih sayang, seolah-olahnya Si Zack itu memanglah cucu daripada darah dagingnya sendiri.

"Tak apa, nek. Terima kasih. Saya nak tanya pasal Abang Din. Nek tau dia ke mana?" Zack tergeleng-geleng dan kemudian tersendawa kuat. Alhamdulillah, kemudian dia menutup mulutnya cepat-capat, malu apabila Nenek Lia tersenyum simpul memandang ke arahnya.

"Oh, Din? Nek pun tak pasti dia dah ke mana. Dia kata nak berhijrah, itu aje yang disebutnya," jawab Nenek Lia sambil membetul-betulkan anak serkupnya yang makin lama makin ke belakang. Rambutnya yang terjurai keluar dirapikan dan dimasukkan kembali ke dalam serkup berwarna putih kekuningan di atas kepalanya itu.

"Macam tu ke, nek? Tak apalah kalau gitu. Saya nak beransur dah ni. Opps, nasib tak terlupa, nak tanya nenek, macam mana nenek boleh ingat semua benda yang nenek baca dan alami tu sampai sekarang tak lupa-lupa?" Zack bertanya penuh minat. Mana tau, ada petua yang best-best dia boleh bagi. Boleh la aku hafal sifir, tak pun ayat Quran banyak sikit. Hu hu hu...

"Nenek makan gingko biloba aje, nak. Nenek selalu pergi minta kat hospital kerajaan, dia orang bagi free lagi. He he he.... Lagi satu, banyakkan membaca dan menghafal, tambah-tambah lagi ayat al-Quran. Insya-Allah ingatan akan jadi kuat," jawab Nenek Lia serupa pulak seperti pentazkirah kuliah subuh di masjid.

Ceh! Macam la pulak aku rajin pergi kuliah subuh? Seingat aku, sekali aje seumur hidup, masa orientasi kat universiti dulu. Itu pun aku siap duduk berteleku di belakang sampai terkeluar air liur, buat kilang tahi mata dekat situ.

"Nek, terima kasih ya jemput datang rumah nenek ni. Lega sikit rasanya rindu dekat arwah nenek. Nah, nenek ambillah duit ni sikit buat belanja beli barang dapur, ya?" Zack mengeluarkan sekeping duit kertas not RM100 dan dihulurkan kepada Nenek Lia.

Nenek Lia terpempan dan giginya yang sudah jarang-jarang itu, kelihatan di sebalik mulutnya yang ternganga tiba-tiba.

"Eh, kenapa ni, nak? Nenek bukan mengharap apa-apa bila nenek jemput anak masuk tadi. Nenek saja nak berborak-borak dengan anak. Simpanlah balik duit tu. Tak manis nenek nak ambil," balas Nenek Lia menolak baik pemberian Zack.

"Nek, lagi tak manis kalau nenek tolak rezeki ni." Reverse psychology. Hu hu hu....

Sekali lagi Nenek Lia mengangakan mulutnya, terkejut agaknya, jangan ada sakit jantung sudah orang tua ni, karang tak pasal-pasal innalillah kat sini pulak.

"Nenek ambil, ya? Bukan salah pun saya rasa. Buat bekal nenek pergi beli beras ke apa-apa. Nah, saya balik dulu, nek! Dah lewat dah ni. Assalamualaikum." Zack menyalami nenek tua itu dan pergi meninggalkan rumah tersebut kemudiannya. Matanya dilirikkan ke arah rumah Abang Din yang masih berdiri kukuh bersebelahan dengan rumah Nenek Lia. Mana dia, kekasih hati? Lagu Adam dan Hawa nyanyian Misya Omar, terngiang-ngiang di telinganya. Eh, aku dah jatuh cinta ke? Dengan Abang Din?? Uhh! Serabut!

Zack segera berlari-lari anak menuju ke keretanya. Dia kat kedai kut. Zack membuat telahan sendiri. Secara tiba-tiba rasa rindunya pada Abang Din datang membuak-buak memenuhi dada dan kepalanya. Zack memandu laju ke kedai makan tempat Abang Din bekerja.

"Ahh! Lantak kau la kereta!" Zack menjerit kuat di dalam kereta. Semua mata memandang ke arah kereta Porshe yang dibrek mengejut di depan kedai makan tersebut. Mesti mereka yang melihat, memikirkan yang Zack langsung tidak sayang akan kereta yang berharga sehingga setengah juta itu.

Zack turun terkocoh-kocoh dan masuk ke dalam kedai.

"Bang Din! Bang Din!" Zack mula membuat kecoh di kedai tersebut. Suaranya dikuatkan bagi melawan suara cerita kartun Detektif Conan yang sedang ditonton oleh beberapa makhluk yang mempunyai mata di situ.

"Bang Din mana, bang??" Penat menjerit, dia menyentuh belakang bahu seorang pekerja di situ dan cepat-cepat bertanya kepadanya.

"Oh, dia dah pindah, dik. Kita orang pun tak tau dia pindah ke mana," jawab Arif selamba. Memberikan jawapan yang sama seperti Nenek Lia tadinya.

"Takkan dia tak bagi hint langsung dia pergi mana, bang?" Zack tidak dapat mengawal suaranya lagi. Suara penuh cemas dan bimbang, suara yang berkocak dengan nada ketidaksabaran.

"Kita orang pun tak tau, dik. Dia tak nak beritahu kita orang dia nak ke mana." Arif menjawab lagi sambil terus menghisap rokok daun tembakaunya di situ. Seketika, asap halus berkepul-kepul terbias ke udara dari mulutnya yang bibir atasnya agak nipis. Bibirnya pula kelihatan sedikit gelap.

Zack menggaru-garu seluruh badannya semacam beruk penuh kutu di kedai makan tersebut. Dia sendiri pun hairan kenapa dia kegatalan sehingga begitu sekali? Kemudian, dia menarik kerusi di situ dan mula duduk termenung. Sesekali terdengar bunyi keluhan berat yang dilepaskan.

"Kenapa adik cari dia?" Arif bertanya. Matanya dililaukan ke arah kerusi meja yang ada di kedai makan berkenaan. Pelanggan tidak berapa ramai pagi-pagi macam ni. Maklumlah, semua orang pun kena pergi kerja mencari rezeki. Cuma ada beberapa orang lelaki yang datang menyinggah minum dan menghisap rokok sambil membaca surat khabar.

"Saya... entah. Terasa macam rindukan dia." Zack menjawab perlahan sambil matanya merenung kosong ke lantai tiles berwarna hijau muda itu.

Isyy, aku kena belajar dengan Si Din ni! Budak lelaki ni pun boleh rindu kat dia, apa kes? Dah la anak orang kaya pulak tu! Arif berbisik sendiri di dalam hati sambil memandang ke arah Porshe milik Zack, kemudian kembali menghayati rokok daunnya tadi.

Seketika, terasa ada getaran dari poket seluarnya, kemudian mula terdengar dendangan lagu ‘Masih Terserlah Ayumu’, nyanyian kumpulan Exists. Zack pun segera mengeluarkan telefonnya yang berbunyi begitu menandakan ada mesej baru yang masuk. Mungkin Abang Din!

Jom keluar petang ni. Kau free tak?

Uhh, mangkuk ni lagi. Nak apanya dia ni? Tak cukup lagi ke aku bagi expert punya ‘kiss’ malam semalam. Zack mengetap bibir perlahan. Secara tiba-tiba, panas hatinya kembali membuak-buak. Sudahlah tak dapat jumpa dengan Abang Din, si mangkuk putih ni pula sibuk nak ajak-ajak dating! Awek sendiri dah ada, nak cari aku jugak! Ahh! Stres, stres! Tekanan jiwa betul! Nak aje aku belasah dia ni hidup-hidup sampai hilang nyawa! Fuh! Sabar Zack, sabar.

"Ahh!!" Zack menjerit kuat di situ dan kemudiannya mula mengangkat punggung untuk berlalu keluar dari kedai tersebut. Orang yang berada di situ cuma memandangnya hairan. Ada juga yang mencebik bibir apabila melihat ke arahnya. Dari awal sampai ke habis, ada aje benda yang dibuat, yang menarik perhatian orang sekeliling. Bukan nak membuat publisiti murahan, tetapi mungkin disebabkan sifat kurang malunya yang membuatkannya bertindak begitu.

"Woi! Cekadak kering! Apa kes kau nak ajak-ajak aku keluar pulak ni, hah? Kau dah ada awek, buatlah cara dah ada awek! Setia pada yang satu!" Zack menjerit kuat di dalam kereta selepas dia menghubungi Azim. Perasaan geram yang dirasai kerana tidak dapat bertemu dengan Abang Din, dilepaskan sepuas hati kepada Azim.

"Hak ala... yang kau sensitif sangat ni kenapa? Aku ajak kau lepak-lepak aje, bukan suruh kau kiss aku pun! Lagipun, boleh apa aku tak nak setia pun, Islam bagi aku kahwin ramai. Tiga tempat lagi kosong. Kau nak isi pun boleh, sangat-sangatlah dialu-alukan!" Azim membalas dengan nada memerli.

Pipi Zack terasa panas apabila secara tiba-tiba scene yang berlaku semalam menerpa di kotak fikirannya. Wajah Azim dirasakan berada begitu hampir dengan wajahnya. Haba kepanasan nafas lelaki itu yang menampar-nampar mukanya, dirasakan begitu dekat. Huh! Nasib baik aku cepat sedar diri, kalau tak hilang habislah kesucian bibir aku ni!

"Hak tuih kau! Ahh, aku tengah bengang ni, kau jangan nak cari pasal nak menambahkan kebengangan aku yang dah bermaharajalela ni!" Zack membalas dengan hati yang bengkak. Karut betul la budak ni!

"Uhh, tak apa. Jom aku bawak kau pergi tepi laut! Kita main bot ski! Kaukan suka? Boleh hilangkan kebengangan kau yang dah ‘berputrilela’ tu!" Sekali lagi Azim memerlinya. Isyy! Memang menempah maut betul Si Azim buaya tembaga ni!

"Kau nak tolong aku ke, nak menyakitkan hati aku, hah? Kalau kau cakap baik-baik sikit, takkan tak boleh? Aku luku karang, baru kau tau!" Zack menjerit kuat di hujung talian. Baran betul aku dengan Si Azim ni! Tak habis-habis lagi nak cari aku apesal? Aku bakar buat cekadak BBQ baru nak puas hati kut??

"Sayang, kau siap la. Kejap aje lagi aku ambik kau kat rumah. Kita pergi Port Dickson, okey? Aku drive pergi balik, tapi kau bayar untuk sewa jet ski. Amacam, beb? Okey tak planning aku ni, sayang?"
Dia panggil aku sayang? What on earth?? Gila sewel betul!

"Aku bukan sayang kau la, albino mangkuk! Kau tunggu aku fikir dulu. Kalau aku tak call kau dalam masa lapan minit setengah, kira kau pergi bawak pelampung kau aje la, okey? Gotta go. Bye!!!" Zack malas mahu melayan si buaya itu. Handphonenya dicampak ke tempat duduk sebelah pemandu dan dia mula menekan pedal minyak dan memandu laju untuk pulang ke rumah.

Hisyy! Macam best aje pergi tepi laut. Tapi kenapa dengan Si Azim tu pulak? Kenapa tak orang lain yang ajak aku? Why must him? Si Azim tu kalau tak kena gaya, memang habis la dengan aku-aku sekali digodanya! Hairan jugak aku dengan Si Azim ni! Bapak punya hensem aku ni pun, boleh dia nak mengurat jugak? Hishh... kes berat ni beb!

Zack memarkir keretanya di porch rumah. Kelihatan suami Mak Timah sedang mencantas pokok bunga ros putih kesayangan mama. Mama memang addicted dengan bunga-bungaan, tambah lagi bunga ros. Pantang nampak mana-mana tempat yang ada menjual bunga ros, mesti dia nak stop and bawa balik buat dua, tiga pasu. Sebab tu la rumah ni walaupun papa baru aje beli lebih kurang dua bulan lalu, dah pun penuh dengan bunga-bungaan. Sebut aje nak bunga ros apa, gerenti ada punya! Black rose aje aku tak pasti dia ada tanam atau pun tak.

Zack masih melepak di dalam kereta, melayan lagu rock jiwang zaman 90-an dulu-dulu. Sedang asyik terangguk-angguk, terhinggut-hinggut badannya dan mengetuk-ngetuk stereng kereta sambil mengikuti rentak lagu jiwang tersebut, matanya tertancap pada telefon bimbitnya di sebelah. Pipinya memerah secara tiba-tiba. Debaran di hati hadir bersama kerutan di dahi apabila terkenangkan Azim yang memanggilnya sayang sebentar tadi. Seketika, dia rasa terbuai oleh satu perasaan yang aneh di jiwanya.

Ahh! Tak boleh jadi, tak boleh jadi! Sedarlah kau wahai Sofi Zarill Muhammad! Jangan terpedaya dengan kata-kata manis mamat albino tu! Setakat perkataan sayang dia tu, aku rasa dah beribu-ribu perempuan dekat Malaysia ni dia panggil sayang! Isyy... mangkuklah! Please la otak! Kenapa dengan aku ni? Tadi beria-ia benar aku cari Abang Din, sekarang ni boleh aku duk terfikirkan Azim pulak? Aku pun dah jadi buaya tembaga jugak ke?

0 comments:

Post a Comment



 
Blog Promosi Novel Bini Aku Tomboy Ke? dari Arisa Eriza, Terbitan Kaki Novel. Reka Bentuk Oleh www.penulisan2u.my