Bini Aku Tomboy Ke?

Karya Dari Arisa Eriza

APA KATA WATAK?


"Tak apa. Kalau aku jadi hantu, senang aku nak datang cari kau. Tak payah naik kereta and ketuk pintu rumah kau. Aku datang terbang melayang aje, putih-putih. Nanti kalau ada benda putih ketuk tingkap rumah kau, kau jangan tak bukak pulak, ya?"

APA KATA WATAK?


"Woi! Cekadak kering! Apa kes kau nak ajak-ajak aku keluar pulak ni, hah? Kau dah ada awek, buatlah cara dah ada awek! Setia pada yang satu!" Zack menjerit kuat di dalam kereta selepas dia menghubungi Azim.

Bini Aku Tomboy Ke? - Bab 7

7

WOI! Apasal kau cium pipi aku, beb? Tak sah lagi la, mangkuk!" Zack menolak kuat badan Azim yang secara tiba-tibanya mencium pipi kirinya tadi. Dah lah atas pentas, hampeh punya makhluk! Semua orang melihat ke arah mereka. Azim tersengih-sengih.

Ceh! Macam beruk dekat Hutan Simpan Pahang pun ada aku tengok! Oh, kau main-mainkan aku eh? Tunggu kau!

"Nah! Kau suka la ambik kesempatan kat aku kan? Baru nak bertunang, dah gatal! Isyy! Aku campak dalam lombong baru kau tau!" Kuat Zack menjerit.

Azim terduduk sambil memegang celah kangkangnya yang disepak oleh Zack. Kuat nak mati! Mandullah aku macam ni! Zack kemudian mengangkat tinggi dress hitamnya dan diikat kemas di pinggang, semacam srikandi dalam drama pendekar la pulak, nasib pakai seluar panjang di dalam dress itu.

"Hah! Come on! Aku dah bukak gelanggang WWE dah ni, cepat lah masuk! Tunggu apa? Masuk, masuk!"

Papa menariknya ke tepi apabila keadaan menjadi semakin teruk.

"Kenapa ni, Zack?! Malulah papa!" Papanya berbisik perlahan tetapi tegas.

"Malu? Papa patut lagi malu nak bermenantukan hantu air ni! Dah ah muka macam cekodok berkulat, gatal pulak tu! Huh!" Zack menjerit kuat. Tak payah pakai mikrofon, rasanya satu dewan dah bergegar dengan suara dia sorang aje!

Secara tiba-tiba, mamanya naik ke atas pentas dan menyimbahnya dengan air oren. Habis satu gelas.

"Mama! Kenapa siram Zack??"

"Hai, dah mama kejut cukup tiga puluh enam kali dah, tak bangun-bangun, mana mama tak siram? Dah, cepat siap. Kejap lagi dah nak pergi dewan." Mamanya berkata perlahan dan lembut. Gelas kosong yang diisi air paip awal tadinya, diletakkan di atas meja sisi di situ.

Hah? Aku bermimpi! Yes! Aku tak bertunang! Zack melompat-lompat dengan semangat waja di atas katil itu.

"Sayang, kejap lagi mama mekapkan, okey?" Tenang datin itu berkata sambil matanya melirik ke arah Zack.
Uhh! Kenapa macam mimpi aku aje ni??

"Zack nak solat!" Zack terus turun dari katil dengan muka pucat. Habis dah kegirangannya tadi. Di dalam tandas, dia merenung wajahnya.

"Siapa la budak comel dalam cermin ni?" Zack berbisik sendirian. Rambut pendek berbelah tengahnya itu dikuis-kuis, dia tersenyum comel. Tidak dapat dinafikan lagi, akulah budak tercomel di angkasa ini! Ya Allah! Karatnya gigi aku! Macam nenek tua pakai gigi palsu emas!

Zack menghembuskan nafas ke tapak tangannya. Subhanallah! Bau longkang + loji! Tak pengsan ke Abang Din dengan mama cakap dengan aku tadi? Aku bau sendiri pun dah naik juling bijik mata!
Zack cepat-cepat mencapai berus gigi yang memang sudah tersedia di bilik hotel tersebut, lalu meletakkan ubat gigi banyak-banyak, sampai habis ubat gigi dalam tiub ubat gigi kecil sebesar jari kelingking itu dipicitnya. Mak aiii! Ni la akibatnya aku tidur tak gosok gigi ni! Agaknya dah bertan-tan taik gigi dalam mulut ‘wangi’ aku ni! Eee, kotor gila tapir! Nak muntah aku membayangkannya!
"Mama! Ada ubat kumur mulut tak??" Zack menjerit dari dalam tandas.

"Tak ada...!" Terdengar sayup-sayup jawab mamanya dari luar.

Uhh! Apa kes ni? Aku paling tak suka bau mulut tahap loji ni! Dia menghembus sekali lagi nafasnya. Emm, dah okey dah ni! Not bad, better than before. Gigi kuning tak ada pun sebenarnya. Aku aje yang over tadi. Gigi akukan sparkling, more sparkle than Abang Din, and the sparklest teeth in the world. Takkan la baru tak berus dua hari dah kuning macam emas kut? Mustahil la!

"Zack! Buat apa lagi tu? Dah dekat pukul lapan dah ni! Cepatlah! Karang nak solat lagi, nak mekap lagi!" Mamanya menjerit dari luar sambil mengetuk pintu tandas bertalu-talu.

"Ya mama... ya! Kejap la, perut banyak angin ni. Tiba-tiba aje senak pulak!" Mekap, benda yang paling aku avoid seumur hidup aku! Kalau ya pun, aku akan tempek bedak baby aje kat muka. Nak letak foundation, moisturiser and yang seangkatan tentera dengannya, jangan haraplah!

"Mama turunlah dulu kalau dah lambat!" Zack mereka ayat di dalam tandas.

"Emm, tak apa... mama tunggu. Zack ni bukan boleh percaya sangat! Nanti entah-entah pakai seluar jean koyak tu aje turun!"

Eh, mama ni! Macam tau-tau aje planning aku!

Akhirnya, Zack pun keluar. Itu pun jalan macam siput babi. Dia mencapai telekung. Pergerakannya dilambatkan semacam kartun slow motion. Solat yang selalunya lima minit, dipanjangkan menjadi dua puluh minit.

Sengaja membaca surah sehabis panjang dan khusyuk untuk membuang masa, sampai mama give up menunggu. Tak senonoh betul budak ni! Solat pun dibuat main! Hai.. tapi tak apa jugak, sebabnya aku rasa macam nilah solat terkhusyuk aku selama aku hidup ni!

Sesudah solat, dia memandang ke arah mamanya yang sudah pun bersiap bukan main lagi. Rambut palsu hitam bersanggul diletakkan kemas di atas kepalanya, muka putih semacam orang opera cina, mulut pulak warna ungu sepadan dengan mata bersinar-sinar macam bintangnya, sepadan jugak bersama-sama dress dan kasutnya. Mujur memang cantik mama aku ni! Hai, makin tua makin menjadi!
"Zack! Dah?" Tanya mama selepas wanita itu sedar dirinya sedang diperhati.

"Sekejap! Nak berwirid bertalkin dulu!" Zack yang sedang mencuri pandang ke arah mamanya tadi, terus menjawab laju sambil segera menadah tangan dan mengadap ke kiblat.

"Isyy, budak ini! Sebelum mama cepuk, baik cepat-cepat sudahkan semua!" Darah tinggi mama naik dah nampak gayanya. Tadi still cool lagi, ni dah nampak dah taring singa betina dia!

"Ya Allah! Kau tolonglah aku! Aku tak nak mekap!" Sambil bersungguh-sungguh dia menadah tangannya berdoa meminta dengan seikhlas hati.

"Hah? Ya la, I turun!"

Zack berdebar-debar mendengarkan perkataan ‘turun’ yang disebut mamanya.

"Papa call. Minta mama temankan dia."

Yes! Ya Allah... terima kasih! Zack bangun menari tarian kuda kepang dengan bertelekung putihnya.

"Amboi? Habis dah wirid? Dah, make sure pakai baju hitam tadi kalau tak nak mama sakit. And pakai kasut ni." Eh? Kasut dalam mimpi aku!

"Emm, ya la mama." Zack membabai mamanya dan menghadiahkan kuntuman senyum comel di bibir. Yes! No make-up! Just dress. Dress?? Adakah...? Zack menelan air liurnya.
Zack bersiap ala kadar. Rambutnya dibelah tepi dan disapu jel. Bedak mamanya diletak sedikit ke muka. Nampak bertompok sedikit. Akhirnya dia membasuh mukanya dan membiarkan sahaja mukanya tanpa mekap walaupun sedikit.

Emm, dah la. Dah comel sangat dah ni. Dia pun turun dengan gaya ayunya menapak ke dewan hotel tersebut. Mujur mama dah beritahu aku awal-awal dekat mana dewan tu.
Zack membelek mukanya di cermin yang tergantung di dinding sebelum masuk ke dewan. Eh, ada bunga. Dia berpaling ke kiri kanan lalu memetik sekuntum bunga carnation berwarna pink selepas dipastikan line clear, lalu diselit ke telinganya. Wah! Cun gila aku! Mesti orang berkenan kat aku nak buat menantu!

Dia pun melangkah masuk ke dalam dewan yang penuh dengan lampu berwarna-warni itu. Memang tak ada spot light, tapi sebijik macam dalam mimpi aku tadi! Hisyy, tenang-tenang. Roh aku la ni yang advanced datang melawat-lawat dewan ni tadi.

Zack tercari-cari mamanya. Kemudian, dari jauh dia dapat melihat mama yang sedang melambai-lambai ke arahnya. Sempat dia menjamu mata dengan makanan yang terhidang dalam ‘perjalanan’nya ke arah meja mama.

"Oh, comelnya anak mama! Macam angel!" Excited sekali mamanya berkata.

"Angel tak berjantina, mama." Zack menjawab endah tak endah. Dia melihat sekeliling selepas menyalami beberapa datin, kawan-kawan baik mamanya. Kemudian...
"Azim?" Kesilauan muka putihnya membuatkan aku nampak dia terang tang-tang walaupun dewan ini agak gelap selepas lampu yang banyak tadi, ditutup dan spot light sahaja yang menyuluh. Yeah, aku nampak dia dengan Amy! Woi, advanced gila dia ni! Tak menyempat kahwinnya, dah pandai bawak perempuan ke hulu ke hilir!

"Woi, Azim! Jom, keluar kejap!" Zack menarik tangan Azim setibanya dia di meja tempat duduk Azim. Permintaan pengerusi majlis diabaikan yang menyuruh semua hadirin duduk.
"Eh, apasal ni?? Siapa kau? Aku tak kenal la!" Azim merentap tangan Zack, kuat.

"Aku Zack la, bongok!"

Amy merenung Azim dengan renungan tajam macam pisau. Berani buat skandal depan aku! Kau tunggu Azim!
"Hisyy! Apesal ni, weh??"

"Aku nak bagi amaran kat kau!" Bergema satu hotel dengan suara Zack selepas mereka berdua keluar dari dewan tersebut. Comelnya dia! First time aku tengok dia pakai macam perempuan walaupun dressnya diangkat sampai ke lutut menampakkan jean di dalamnya.

"Woi! Kau berangan apa ni, mangkuk??" Zack menolak bahu Azim. Sempat berangan pulak. Aku tengah serius ni!

"Hah? Apa benda kau nak beritahu?" Terkejut dengan sergahan Zack, Azim kembali ke alam nyata.

"Aku nak kau tolak habis-habisan kalau malam ni aku kena tunang dengan kau! Got it?"

Tunang? Azim tak terkejut kalau mereka berdua akan ditunangkan pun, sebabnya ayah mereka berdua memang kawan baik.

"Apa kes nak bertunang aku dengan kau pulak? Kau ni demam ke, Zack?" Azim bertanya sambil tangannya memeluk badannya sendiri.

"Ahh, tak ada demam-demamnya! Aku nak kau buat apa yang aku cakap tadi, kalau tak aku cabut ekor and misai Aristotle kau!" Zack mengugut dengan nama kucing kesayangan Azim dahulu kalanya.
"Aristotle dah lama mati la..." jawab Azim perlahan, dengan muka ‘malas layan’nya menghiasi mata Zack.

"Ahh, tak kisahlah! Yang penting, aku akan bunuh kalau kau berani nak bertunang dengan aku! Kau dengar??" Zack mencekak leher baju Azim selepas dilihat Azim semacam endah tak endah sahaja dengan ugutannya tadi. Bunga carnation yang dipetik tadinya jatuh ke lantai.

"Woo.. stop it, Zack! Okey, okey. Aku dengar!" Azim terasa panas pipi selepas terdapat beberapa orang yang tertoleh-toleh ke arah mereka berdua. Mesti dia orang fikir aku gaduh dengan bini queen control! Wah! Hilanglah kemacoan aku!

"Dah! Jom masuk!" Azim mengutip bunga yang jatuh dan diselitkan kembali ke telinga Zack, kemudiannya memegang tangan Zack untuk dipimpin masuk ke dalam dewan selepas dia membetul-betulkan bajunya yang dicekak oleh Zack tadi.

"Eh, mangkuk! Aku bukan bini kau la! Lepas tangan sekarang!" jerit Zack dengan muka garang tak boleh blah. Lakonan semata-mata!

Ek eleh. Minah ni, baru pegang tangan aje pun, dah kecoh nak mati! Tapi, memang cun tahap gabanlah dia malam ni! Berombak dada and hati aku tengok!

"Kau ingat warning aku tadi! Jangan sampai aku belasah kau!" Zack mengugut sekali lagi di dalam dewan, perlahan tapi tegas. La, tau la kau ada tali pinggang hitam taekwando, Zack. Janganla cabar aku lawan dengan perempuan!

"Weh! Aku bukan perempuan lemah macam kau fikir!" ujar Zack dengan mata setajam pisau.

Isyy! Hantu mana sampuk Si Zack ni?? Pelik semacam aje gayanya? Tau pulak tu apa aku fikir!

"Ya, ya... aku tau!" Azim membalas dengan muka cipan malas.

Yes! Menjadi ugutan aku!

"Zack, pergi mana tadi?" Mama bertanya sambil matanya merenung dalam muka anaknya itu selepas Zack duduk di sebelahnya.

"Pergi spray kumbang, mama." Zack menjawab sambil membetul-betulkan tali dress yang dipakainya. Tak pernah seumur hidup aku pakai baju macam ni! Huh! Malu sebenarnya!

"Spray kumbang? Kumbang mana, Zack?" Mama bertanya hairan.

"Kumbang spesis putih kena sopak!" Zack menjawab endah tak endah sekali lagi. Mamanya malas nak bertanya lagi dah. Anaknya tu memang suka loyar buruk. Tanya benda lain, jawab ikut lain. Hai la... gen siapa yang turun kat dia ni agaknya?

Selama persembahan-persembahan berlangsung, Zack tertoleh-toleh ke arah makanan di tengah dewan. Cukup dua puluh satu kali dia menelan air liur melihat ke arah makanan yang terhidang. Dari kejauhan, silauan muka Azim sekali lagi mengganggunya. Apesal dia ni tenung-tenung aku pulak? Zack membuat muka marah dan membuat aksi seperti menumbuk ke arah Azim. Azim sempat pulak menutup mukanya seperti menghadang daripada ditumbuk. Apa kena la. Hairan jugak!

"Hadirin dijemput menjamu selera."

Zack cepat-cepat bangun selepas mendengar ucapan yang dinanti-nanti sedari tadi. Ahh, aku dah malas nak fikir pasal papa nak tunangkan aku ke apa, yang penting perut aku! Sedang dia makan kek berkrim putih, sekali lagi papanya naik ke atas pentas sebijik macam dalam mimpinya.

"Malam ini amat penting bagi puteri kami, Sofi Zarill kerana Sofi..."

Kenapa sama dalam mimpi aku?? Berdebar menunggu sambungan ayat papanya itu.

"Kerana Sofi akan menjadi manager bagi Rill’s Collections yang akan dirasmikan pada bulan depan! Come, dear! Here beside me!" Papa Zack tersenyum maco di atas pentas sambil matanya mengarah pada Zack.

Hadirin semua bertepuk tangan. Spot light menyuluh ke arah Zack yang dah aware awal-awal. Mulutnya dah tak comot semacam dalam mimpi tadi. Alhamdulillah! Tak bertunang! Mama ni saja aje nak buat aku suspense tahap awan! Rupa-rupanya nak aku jadi managera je pun.

"Selamat malam pada semua. Thanks to mama, papa kerana menawarkan kerja pada anakmu yang comel ni..." Zack berkata selamba di atas pentas. Depan orang ramai pun sempat nak mengarut lagi. Semua hadirin pun tersenyum.

"Saya langsung tak tahu-menahu tentang... apa dia namanya, papa?"

"Rill’s Collections." Papanya tenang menyebut di sebelahnya.

"Haa, Rill’s Collections tu, hari ni baru terdengar nama tu, dan apa pun, I’ll try my best to do my best! Emm, that’s all. Nak baca kertas pun, kertas tak ada, so tak boleh nak bebel panjang-panjang. Pada semua, selamat menjamu selera! Terima kasih." Itu ajalah yang dia tau, makan. Kemudian, dia pun menapak perlahan turun ke tempat duduknya tadi. Mama tersengih-sengih nampak gigi.

"Kenapa mama senyum-senyum?"

"Tak ada apa-apa. Anak mama cute sangat malam ni." Mahu tak cutenya, dress bagai serupa orang putih nak menikah!

"Ya la tu, ma. Zack nak makan lagi. Nak tapau bawak naik bilik, mama nak sekali tak?" Zack bertanya sambil menelan air liurnya lagi memandang ke arah makanan yang masih banyak terhidang di meja buffet di situ.

"Zack, tak payah la tapau-tapau. Nanti kat rumah banyak makanan lagi."

"Rumah? Zack tak nak ikut balik Perak lagi. Nak duduk sini, tak kira ma, tak kira jugak!" Zack menghentak-hentak kuat kakinya sambil membuat muka tenuk hidung panjang.

"Bukan. Rumah kita kat sini la, sayang."

"Eh? Tahun bila kita ada rumah kat sini, mama? Kenapa Zack tak tau pun?"

"Ada aje. Papa baru beli tahun lepas."

"Ya ke, mama? Yes! Tak payah balik Perak!"

"Zack! Jom kejap. Awek aku merajuk la..." Azim tiba-tiba mencuit bahu Zack dari belakang. Zack yang sedang happy-happy itu pun berpaling.

"La, apa kes pulak dengan awek kau tu? Ada pulak kena-mengenanya dengan aku?" Zack bertanya sambil mengunyah.

"Auntie sihat?" Azim bertanya khabar kepada mama Zack yang sedang tersenyum di situ.

"Alhamdulillah, sihat. Lama tak datang rumah, Zim?"

"Insya-Allah. Ada chance balik Perak nanti, saya lawat rumah auntie." Azim menjawab ramah.

"Woi, cepat la. Apesalnya kau suruh aku duk tercongok kat sini? Aku tak habis nak isi perut aku lagi la, mangkuk! Jangan la buang masa aku! Masa makan tu emas!" Zack bising selepas dilihat Azim sedap duk sibuk beramah mesra dengan mamanya pulak, membiarkan dia berdiri tercongok-congok di situ.

"Ya la, ya la... kejap la. Auntie, saya ada hal sikit nak cakap dengan Zack. Nanti ada masa insya-Allah saya datang rumah auntie." Azim senyum sikit dan berlalu dengan Zack di belakangnya selepas mama Zack mengangguk.

"Mana awek kau tu? Apa dah jadi dengan dia?"

"Mana aku tau. Tiba-tiba nak merajuk dengan aku. Kata aku bercinta dengan kau!" Muka Azim berkerut bukan main.

"Wa ha ha ha! Aku yang comel ni bercinta dengan kau yang macam kumbang terkena sopak ni?? Adei la. Awek kau ni pun satu hal. Takkan la taste aku teruk sangat kut,. Hu hu hu... tak tahan, tak tahan.." Zack gelak kuat sambil kepalanya tergeleng-geleng. Mengutuk tak ingat!

"Woi! Kau jangan nak mengutuk aku pulak. Baik kau tolong aku sekarang. Kau la punya pasal tadi, aku pulak yang kena tanggung!" Azim menjerit kuat.

"Ya la, aku tolong la ni. Mana dia? Kenapa dia tak bersilau macam kau, Zim? Kalau tak, senang nak detect!"

"Tadi ada aje dekat sini. Siapa yang nak culik dia pulak?" Zack dan Azim tercari-cari di manakah Amy berada.

"Hah! Aku dah nampak! Tu dia, dia dengan laki baru la, mangkuk! Cuba kau tengok, amboi mesra-mesraan macam tahun lepas kenalnya!" Zack menunjuk ke arah Amy yang sedang galak bersembang dengan seorang lelaki. Mereka berdua terjenguk-jenguk dari belakang tiang besar di situ. Lagak macam pencuri tak bertopeng pun ada!

"Mak aii! Habislah kawan aku ni. Awek sudah dikebas oleh pak misai tua! Ha ha ha!" Zack berkata sambil tangannya menepuk-nepuk bahu Azim.

"Wei! Kau la punya pasal la ni! Tengok, tak pasal-pasal dia jumpa dengan laki mana entah!" Azim menjerit kuat, tak puas hati. Tangan Zack ditolak daripada terus melingkar pada bahunya.

"Eh, kau jangan nak salahkan aku la, Zim! Kalau dia dah tak cintakan kau pun, salah kau lah, apa kena-mengena dengan aku ni pulak?" Zack mempertahankan diri. Dah memang bukan salah aku pun, buat apa aku nak mengalah?

"Kau yang buat dia merajuk dengan aku tadi!"

"Ya la, mangkuk! Salah aku! Jom ikut aku! Tengok ‘jejaka’ maco ni memujuk macam mana." Tak ingat diri sendiri pakai dress. Boleh nak perasan jadi jejaka lagi. Selepas itu, Zack pun menapak ke arah Amy. Si Azim di sebelahnya tertunduk-tunduk macam baru lepas cekup anak ayam orang.

"Excuse me, please. Just for a second, mister."

"It"s okey. Take your time." Lelaki yang galak bersembang dengan Amy tadi tersenyum ramah selepas Zack meminta untuk bercakap dengan Amy sekejap.

"Amy, right?" Zack berbisik perlahan sambil menyalami Amy. Mukanya dirapatkan ke arah Amy dengan senyuman ala menggoda.

Eh, mangkuk ni! Aku suruh dia pujuk, bukan suruh mengurat awek aku! Azim menyumpah di dalam hati.

"Amy. Ingat saya lagi tak? Zack?"

"Emm?" Amy berkerut memandang Zack. Rasanya dia yang tarik tangan pakwe aku tadi!

"Ala, budak tomboy kat kedai makan hari tu la, Amy!" Azim menyampuk tiba-tiba.

Amy menjeling tajam. Sibuk aje! Dah la main kayu lapan dengan aku!

"That’s right! Remember? Tadi tu, saya ada hal sikit nak kena cakap dengan dia. Tapi tak bermaksud saya ni bercinta dengan dia, honey."

Mak ai... siap panggil awek aku honey lagi! Ini sudah lebih! Azim panas.

"Okey, I percaya. Tapi, you memang cute la." Amboi! Dua-dua dah mula nak menggatal! Tak boleh jadi ni!

"Is it? He he he thanks. So, best tak datang sini? Azim albino selalu bawak Amy datang majlis macam ni, ya?"

"Ehem! Ehem!! Ehem!!!" Azim berdehem kuat sampai nak terkeluar anak tekak.

"Hisy! Giler banyak kahak kau, Zim?" Zack memerli Azim. Mesti jelous ni aku usik awek dia. Tapi aku tak berniat pun nak mengurat, biasa la tu, mulut kena manis, impression muka and body languange kena semangat, baru orang suka and rasa dihargai. Ya ke? Entah, nenek aku yang cakap dulu-dulu.

"Dah ya, Amy. Jangan gaduh lagi dengan budak ni. Kita orang tak ada apa-apa pun. Just kawan aje. Lagipun, better saya mengurat Amy, daripada mengurat Azim sepupu si cekadak kering ni."
Muka Azim merah. Amy cuma senyum kucing malu. Pulak! Perasan diri cun la tu.

"Woo sedap betul kau cakap, Zack? Amy’s mine, okey?"

"Okey, got it. Aku blah dulu, Zim. Pepandai la kau. Aku dah demo tadi. Hu hu hu... okey, Amy! Jumpa lagi!" Zack senyum kambing tak mandi dan selepas itu membabai ke arah mereka berdua.

"Thank you bebanyak untuk kau!" Azim memerli. Isyy, budak ni! Bukan nak tolong baiki, makin merosak ada! Azim bising di dalam hati.

"Makin cute la dia, baby! Sukanya tengok!" Amy berkata semangat.

"Ehem! Dah habis merajuk? Tadi tu siapa?" Tak habis-habis nak memuji Si Zack tu! Kalau lelaki tak apa, masalahnya, Si Zack tu perempuan! Aku yang dah cukup hensem ni, tak nak pulak dipujinya!

"Siapa apa? Oh, yang tadi tu? Entah, tak tau. Curi sembang aje dengan dia tadi. Tak kenal pun."

Zack pula menapak ke arah mamanya yang tiba-tiba menggamit-gamit ke arahnya. Sempat dia mengambil dua biji bebola daging lalu disumbat ke dalam mulutnya, penuh. Pipinya membulat macam pak cik sumo, Jepun. Emm, bestnya kalau tiap-tiap hari dapat makan sedap macam ni.

"Emm, kenapa mama?"

"Jom. Papa dah nak balik katanya."

"Kenapa mama tak beritahu awal-awal kata kita ada rumah kat sini? Tak payah Zack susah-susah..."

"Tu la, mama dah kata hari tu, tunggu datang KL dengan mama, tapi Zack degil! Hah, padanlah dengan muka!" Potong mamanya laju.

"Ala, mama ni. Suka sangat nak marah." Zack berkata sambil dahinya berkerut.

"Jom! Dah lewat ni." Selepas papa mengucapkan terima kasih kepada para tetamu, dia pun menuju ke arah dua beranak yang sedang sibuk menyembang entah apa kebendanya itu. Yang sorang makan banyak. Yang sorang lagi, yang tua sikit tu, makan pun tak nak. Alih-alih makan tumbuh-tumbuhan hijau aje, dietlah kononnya. Herbalife, pagi petang, siang malam. Produk Herbalife aje dah penuh satu kabinet dapur dekat rumah! Nasib makin cantik jugak.

"Papa and mama balik Perak malam ni. Terpaksa balik awal sebab Mak Timah nak ikut balik sekali. Katanya adik sakit kat kampung." Nada suara papa tinggi berkata-kata bagi melawan kebingitan bunyi radio.

"Mak Timah? Yang jaga Zack masa dengan arwah nenek dulu tu??" Hisyy! Seram, seram tahap gaban! Kenapa? Sebabnya dia kalau dengan arwah nenek, menjadilah dia seperti pasangan Bawang Merah dengan mamanya di dalam Sinetron Indonesia itu. Tetapi, taklah sekejam itu aku rasa.

Dahulu kalanya, nenek aku yang asalnya duduk di KL, pindah ke Perak sebab nak duduk dengan cucu, main-main dengan cucunya yang seorang ini, iaitu aku. Tapi, memang ‘main-main’ gila dia dengan aku. Nenek aku ni memanglah moden orangnya. Tapi ada satu benda yang tak moden, iaitu kuat melatah!

"Sofi! Cepat turun! Budak perempuan mana boleh main panjat-panjat pokok! Isyy! Budak ni! Aku kata turun, turunlah!" Neneknya yang bernama Katijah itu memekik dari bawah. Cantikkan nama dia. Tapi aku tak panggil dia Cathy, macam selalu kawan-kawan dia panggil. Aku panggil dia Nenek Kati, sama dengan timbangan kati yang masa zaman-zaman dulu orang guna tu.

"Nenek jangan duduk dekat. Nanti Sofi turunlah, nek! Baik nenek pergi main jauh-jauh, nanti kalau buah kelapa ni jatuh atas kepala nenek, arwah nenek nanti!" jerit Zack dari atas pokok, kuat.
"Isyy, budak ni! Tak sah kalau tak kena sekeh dengan aku! Turun sekarang aku kata!"

"Kenapa ni, Cik Puan Cathy?" Datang dah askar sepasukan, yakni askar bersuara kuat kalah petir!

"Ni ha... budak ni. Saya suruh turun, tapi tak nak jugak turun-turunnya!" Nenek bersuara bengang kepada Mak Timah a.k.a. ‘musuh’ semula jadi aku. Bukan musuh apa pun, sebabnya aku menggelar dia begitu kerana dia suka sepakat dengan nenek di dalam ‘menggulingkan’ aku bila aku nak buat projek budak nakal sikit.
"Nenek! Lari cepat! Buah!"

"Allahuakbar!

"Nenek!" Zack menjerit kuat.

Gedebuk!!!

"Subhanallah... jatuh anak patah pinggang nenek tua!" Nenek Zack melatah panjang sebelum pengsan bersama rakan seperjuangannya tadi.

"Sofi, buat apa kamu pergi terjun atas nenek? Tengok, apa dah jadi kat nenek ni? Mak... mak...!" Mama Zack cuba mengejutkan emaknya yang sudah pengsan selepas ditimpa buah kelapa sebesar gajah, yakni cucunya sendiri.

"Mana Sofi tahu. Sofi dah beritahu awal-awal dekat nenek Timbang Kati jangan duduk dekat-dekat...." Zack berkata dengan muka tak bersalahnya, cuba mempertahankan diri.

"Berapa kali mama beritahu jangan panggil nenek Timbang Kati? Isyy, budak ni! Geram betul aku!" Telinga kanan Zack dipulas sekuat hati sampai puas. Geram tahap singa betina dah dia dengan kerenah Si Zack itu.

"Aduh, sakit mama! Sofi nak selamatkan buah daripada jatuh, sebab tu Sofi jadi Superman, mama. Mana tahu, tertimpa nenek 5 Kati." Zack berkata sambil mengusik-usik rambut putih neneknya.

"Apa? Nenek 5 kati??"

"Mama kata jangan panggil nenek Timbang Kati."

"Budak ni!" Mama mengejar Zack satu round sampai penat, akhirnya terduduk kembali di sisi emaknya itu dan Mak Timah yang benjol di kepala. Mak Timah pun masih tidak sedarkan diri. Selepas beberapa jam kemudian, barulah kedua-duanya pun sedar. Itu masa umur Zack sepuluh tahun. Lain pulak masa lima tahun kemudiannya....

"Selamat Hari Raya, nek. Minta maaf zahir dan batin, ampunkanlah cucumu yang comel ini. Tambahkanlah duit rayanya, seiring pertambahan usianya, ya nek?" Sebut Zack laju sambil menyalami tangan neneknya itu.

"Banyaklah duit raya kamu. Solat sunat pun tak pergi. Mana tudung dengan baju kurung? Mana ada budak perempuan pakai baju Melayu!" Kata nenek sambil sekeh kepala Zack.

"Ala, nek ni. Relaks la, perempuan zaman moden memang macam ni gayanya. Trendy stylo," ujar Zack sambil memasukkan tangannya ke dalam poket depan baju Melayu warna biru tua.

"Isyy, Mas! Tengok anak kamu ni, tak reti budaya timur langsung!" Kuat nenek menjerit, memanggil anaknya yang sedang menyiapkan hidangan ketupat dan rendang di dapur.

"Cucu nenek jugak! Muahh! Babai nenek! Nak pergi beraya ni!" Zack mencium pipi neneknya dan terus berlari keluar.
Malamnya....

"Woi! Jom! Aku nak balas dendam dekat Mak Timah! Korang temankan aku, jom!" Zack berkata.

"Set!!!"

"Kau serang sana, aku serang sini!" Zack dengan beberapa orang kawan-kawan lelakinya, termasuk Azim, mula mengelilingi rumah Zack.

"Ready, go! Lari!!!" Dua biji mercun bola dicucuh dan dilempar ke sisi rumah Zack.

Kaboom!!!

"Subhanallah... mak pocot aku terbang nyawa separuh!" Dari luar, kedengaran jelas suara nenek melatah lagi dengan suara Mak Timah yang mengucap panjang.

"Woi! Lari, beb!" Zack yang sedang ketawa menekan perut di halaman rumah, mengarah rakan-rakannya melarikan diri apabila Mak Timah membuka pintu dengan parang kontot di tangan.
"Zack! Berangan apa tu? Kita dah sampai ni. Jom turun," sapa mamanya, lalu mematikan lamunan panjangnya tadi.

"Ya, ma..."

"Ohh, cucu Mak Timah! Dah lama tak nampak! Makin comel!" Mak Timah meluru ke arah Zack dan memeluk kemas badan Zack penuh keibuan. Walaupun Zack banyak ‘mengusiknya’ dulu, namun dia tidak pernah berdendam, tetap menyayangi Zack. Jauh di lubuk hati, Zack pun begitu. Dia tetap sayang Mak Timah yang menjaganya sejak dia kecil lagi.

"Mak Timah buntal sihat?" Zack senyum lebar.

"Isyy, budak ni! Tak habis-habis. Mak Timah sihat aje, Sofi," jawab Mak Timah sambil mengusap pipi Zack.

"Oppss, kejap Mak Timah! Saya bukan Sofi lagi sekarang. Tapi Zack Maco. Hu hu hu... Ingat tau, Mak Timah!"

"Yalah, sayang. Jom masuk dulu. Mas dengan Mat nak minum?" tanya Mak Timah lembut.

"Tak apalah, Mak Timah. Tak payah susah-susah. Barang-barang semua dah siap kemas?" Mama Zack bermesra. Dia dengan suaminya tak kisah kalau Mak Timah tidak memanggil mereka dengan panggilan puan atau tuan, sebabnya mereka pun dah anggap Mak Timah seperti keluarga mereka.

"Eh? Siapa budak muka macam anak kucing ni?" Zack menjerit kuat. Pertama kali dalam sejarah hidup aku yang memang comel ini, aku terjumpa seseorang yang mencabar tahap kecomelan aku! Tak boleh jadi ni! Just wait and see, Miss Kitten!

0 comments:

Post a Comment



 
Blog Promosi Novel Bini Aku Tomboy Ke? dari Arisa Eriza, Terbitan Kaki Novel. Reka Bentuk Oleh www.penulisan2u.my