Bini Aku Tomboy Ke?

Karya Dari Arisa Eriza

APA KATA WATAK?


"Tak apa. Kalau aku jadi hantu, senang aku nak datang cari kau. Tak payah naik kereta and ketuk pintu rumah kau. Aku datang terbang melayang aje, putih-putih. Nanti kalau ada benda putih ketuk tingkap rumah kau, kau jangan tak bukak pulak, ya?"

APA KATA WATAK?


"Woi! Cekadak kering! Apa kes kau nak ajak-ajak aku keluar pulak ni, hah? Kau dah ada awek, buatlah cara dah ada awek! Setia pada yang satu!" Zack menjerit kuat di dalam kereta selepas dia menghubungi Azim.

Bini Aku Tomboy Ke? - Bab 8

8

"SAYA Arin, orang gaji dekat sini," kata Cik Kitten dalam nada yang perlahan dan bergetar kerana disergah oleh Zack tadi.

"Ohh, I see." Zack menjawab endah tak endah. "Jom, Mak Timah. Pak Ali mana? Dia nak ikut balik sekali tak, Mak Timah?"
Papa bertanya tentang suami Mak Timah yang bekerja sebagai gardener di rumah itu.

"Oh, tadi ada aje. Bang Ali! Oh, bang! Bersiap kalah perempuan lamanya!" Mak Timah membebel sambil kakinya berjalan naik ke atas. "Sekejap ya, Mat, Mas. Mak Timah panggil Pak Alinya sekejap." Mak Timah berbasa-basi.

"Eh, kau! Pergi ambilkan aku air! Haus nak mati aku ni. Daripada kau duduk tercongok aje kat situ!"

Muka Arin pucat kerana dijerkah oleh Zack. Terkulat-kulat dia dibuatnya.

"Zack! Apa ni? Cuba cakap baik-baik sikit dengan Si Arin tu. Kesian dia." Mama menegur Zack.

Arin tunduk lalu berjalan cepat-cepat ke dapur. Terkejut. Macam tersambar kilat.

"Ala, tak apa, mama. Kalau manjakan sangat, nanti jadi degil, macam Zack ni ha." Zack membalas sambil duduk meletakkan kaki di atas meja kopi di ruang tamu. Sedar pulak diri sendiri degil.Tangannya mencapai remote TV dan menekan butang ‘on’.

Cartoon Network menyiarkan rancangan Tom & Jerry.

"Mama, sinilah tengok sekali. Eh, kenapa kau ni macam muka Tom ni aje? Kau sepupu dia, eh?" Zack mengusik Arin selepas gadis itu datang dengan segelas air oren

"Apesal kau diam? Letak dekat situ." Zack tak puas hati apabila Arin tidak memberi respons langsung pada usikannya itu.

"Tak ada apa-apa, tuan."

Ha ha ha! Dia panggil aku tuan! Seorang lagi terpedaya!

"Hisy! Kamu ni, Zack... siapa ajar cakap kurang ajar macam tu??" Papa bersuara selepas habis bersembang dengan mama.

"Dah la ya, Arin. Budak ni memang macam ni, pening sikit. Jangan ambil hati, okey?" Mama menyampuk.

Zack tersenyum lebar. Puas hati.

Memang aku pening. Disebabkan oleh itu, aku akan buat kau pening sekali. Ha ha ha! "Zack, nah... ni credit card and kad bank. Guna kad bank ni dulu beli barang harian, nanti ada masa, pergi buat kad baru. Passwordnya sama dengan kad bank sebelum ni. Mama dah tukarkan." Mama memberi sekeping kad kredit dan kad bank kepada Zack.

"Ya ke, mama? Wah, ni yang sayang mama lebih ni! Thank you, mama! Muahh!" Zack mencium pipi mamanya sambil memeluk erat.

Arin berdiri tegak sahaja tanpa bergerak. Hanya matanya terkelip-kelip memandang Zack dan keluarganya. Manja betul, and menyampah gila dengan perangai dia! Hee, macam bagus sangat! Perasan! Arin berbisik sendiri di dalam hati.

"Apa kau tenung-tenung? Tak pernah tengok makhluk secomel aku ke, hah?" Sekali lagi kena.

"Zack.." Mama merenung dalam-dalam. Geram kerana anaknya itu tak habis-habis dengan kenakalannya menyakat Si Arin. Dah la Arin ni budak lurus bendul macam tiang letrik, kesian betul.

"Jangan buli Si Arin ni, kalau tak nanti mama kurangkan income bulanan kamu."

"Hah? Mama suka lebihkan anak orang lain, anak sendiri mama biarkan. Bak kata pepatah, anak monyet dalam hutan disusukan, anak sendiri biar mati lapar...." Sebut Zack dengan nada tak puas hati.

"Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan, baru betul, tuan." Arin menyampuk.

"Betul betul betul!" Zack mengiakan kata-kata Arin tanpa sedar yang Arin membetulkan pepatahnya tadi.

"Hep! Diamlah kau, budak kecil jangan menyampuk!" Zack berpura-pura marah.

"Zack! Jangan sampai mama buat betul-betul." Mamanya bertambah geram apabila Zack semakin kuat menyakat Arin. Memang tak makan saman betul!
"Yalah!" Zack menjelir lidah ke arah Arin. Sibuk aje kau ni!

"Bila Mak Timah nak balik sini balik?" Arin bertanya selepas Mak Timah turun bersama suaminya dengan dua buah beg sebesar anak tenuk.

"Tak tahu lagi, Arin. Mak Timah kesiankan adik dekat kampung tu. Tak ada siapa yang boleh tengokkan dia. Kalau jadi apa-apa, susah." Mak Timah membalas sambil merenung lembut ke arah Arin. Arin memang sudah dianggap seperti anaknya sendiri, memandangkan anak kandungnya yang seramai lima orang itu semua tinggal berjauhan daripadanya. Jadi, kasih sayangnya banyak tertumpah pada Arin kerana naluri keibuannya yang masih kuat.

"Sunyilah saya nanti, Mak Timah." Arin membalas perlahan sambil tertunduk merenung lantai. Tangannya memintal-mintal hujung rambut lurusnya itu.

"Sunyi? Tak mungkinlah, Arin. Ni, Si budak ni... kalau ada dia, selagi tak meletup rumah ni, tu bukan dia la tu, Arin," ujar Mak Timah sambil tergelak kuat.

"Betul tu, Mak Timah. Arin, kau percaya aje la, sebabnya aku akan letupkan rumah ni, dengan kau-kau sekali. Ha ha ha!" Zack menambah dan kemudian gelak tak ingat bagi menambahkan kepucatan muka Arin. Baru puas hatinya menyakat Si Arin

"Zack, jaga Si Arin ni. Arin, jangan takut, okey? Zack ni bukan budak jahat, dia nakal aje. Dah tua-tua pun, tak habis lagi nakalnya." Mama berkata selepas Arin menyalaminya.

Arin hanya tersenyum nipis dan mengangguk.

"Apa tuanya, mama? Baru dua puluh tiga tahun aje tahun ni. Bak kata Rosnah Mat Aris, apalah ada pada bilangan, kan mama? Muahh, sayang mama! Mama jaga diri tau? Papa, Mak Timah, Pak Ali." Zack memesan pada semua dan mencium pipi mama sebelum wanita itu masuk ke dalam kereta. mamanya

"Jangan lupa kunci semua pintu dan tingkap. Pokok-pokok jangan lupa siram!"

"Tu semua kerja kau, Arin!" Zack berkata perlahan sambil tersenyum dan membabai ke arah kereta papanya yang makin menjauh daripada pandangan.

"Apa kau tengok? Takut dengan aku yang hensem ni? Kenapa ya, mama sanggup tinggalkan anak dara orang dengan aku? Kau tak hairan ke, Arin?" tanya Zack sambil merenung ke arah Arin.
Muka Arin pucat membayangkan dia hanya berdua dengan seorang ‘lelaki’ di rumah itu.

"Hua hua..." Zack ketawa kuat selepas Arin berjalan laju menuju ke pintu depan rumah tanpa menjawab soalannya tadi.

Zack pun masuk dan menuju ke arah dapur. Kelihatan Arin sedang merapatkan dan mengunci tingkap yang tidak rapat tadinya.

"Wei, Arin. Kau makan apa dengan Mak Timah and Pak Ali ni? Kenapa kosong tak ada apa-apa pun dalam peti? Aku nak susu fresh, tak kira, kalau kau tak dapatkan untuk aku malam ni, aku terpaksa la dapatkan daripada kau." Zack berkata selamba.

Dada Arin berombak kuat. Habislah kalau dia rogol aku!

"Saya tak reti drive kereta, tuan." Arin berkata sambil matanya melihat lantai.

"Siapa suruh kau drive? Tak kisahlah kau nak dapatkan macam mana pun. Yang penting, aku nak kau adakan susu fresh depan aku kejap lagi." Zack berkata tegas.

"Baik, tuan!"

"Oh, sekejap. Bagi aku pen dan kertas."

"Buat apa, tuan?"

"Ambilkan aje la. Kau ni, banyak soal pulak. Kau nak aku cepuk kau ke? Aku kira sampai tiga. Kalau tak sampai, aku suruh kau tidur dekat luar malam ni!"

"Ye, tuan." Arin berlari-lari dan hilang di balik dinding.

Zack senyum lebar. Wah! Bahagianya aku! Ada budak baik yang boleh aku buli tiap hari. Hu hu hu...

"Ni, pennya, tuan."

"Duduk. Tak payah bertuan puan dengan aku. Panggil aje aku Zack. Duduk!"

"Ya, tuan. Zack. Maaf...."

Hu hu hu.... bermaaf-maafan pulak dengan aku. Hai, kau silap rumahlah, Arin. Takut pulak tu dengan aku, hua hua!

"Esok kau nak masak apa? Aku nak tiga hidangan lauk, dua hidangan tumbuh-tumbuhan. Air asam jangan lupa. Tulis kat kertas ni, apa yang perlu untuk dibeli."

"Saya nak tanya sikit boleh, Z... Zack?" Terketar-ketar Arin berkata.

"Tanya la apa kau nak tanya?" Zack membalas acuh tak acuh. Kemudian, dia mengambil sebiji buah epal yang tersusun kemas di dalam sebuah bakul dan melambung-lambungkannya tinggi-tinggi.

"Tumbuh-tumbuhan tu apa?"

"Subhanallah! Kau ni belajar sampai sekolah apa ni? Tumbuh-tumbuhan pun kau tak tahu? Tumbuh-tumbuhan tu nama lain bagi sayur. Tapi, tak semestinya semua tumbuh-tumbuhan tu sayur dan lagi, sayur memang gerenti daripada tumbuh-tumbuhan. Ada faham?"

"La, sayur rupa-rupanya." Arin membuat muka tidak bersalahnya dan kemudian menulis sesuatu di atas kertas putih di tangannya

"Kau ni, lambat pick up betul la. Dah habis tulis?"

"Sekejap, saya kena buka buku resepi dulu, Zack. Baru boleh tulis apa yang perlu." "Habis, kau buat apa aje dekat rumah ni? Masak pun tak reti?"

"Saya tak masak, saya mengemas rumah aje, tuan... Zack." Perkataan ‘tuan’ gerenti terkeluar kalau Zack mula menyoalnya dengan nada tinggi.

"Sinilah aku tuliskan! Kau ni, masak pun failed! Umur kau berapa?" Zack mengambil pen dan kertas daripada Si Arin.

"Dua puluh, tahun depan."

"Yang kau cerdik pergi beritahu tahun depan punya buat apa? Aku tanya jawab aje la 19. Hisyy, kau ni, apa kena dengan kepala otak kau tu?"

"Kena sambar petir...." Arin menjawab perlahan.

Laaa... patut bengong semacam. Rupa-rupanya kena panah petir! Aduh. Nasib hidup lagi. "Kau pergi call kedai runcit, suruh dia hantar semua barang-barang yang aku tulis ni, malam ni jugak!"

"Baik tuan."

"Tuan, tuan! Aku hantar kau pergi Tanjung Tuan, kau nak??"

"Ta... tak... nak, tuan...!" Terkial-kial Arin menjawab.

"Hai, kau ni. Sekali lagi aku dengar kau sebut tuan, aku cepuk kau tiap pagi selama seminggu! Ada dengar??"
"Ya, dengar."

"Dengar aje, paham ke tak?"

"Faham, tuan!"

Yes! Akhirnya mangsa cepukan aku sudah muncul. Hua hua! Baru jerit sikit, dah kecut perut. Hu hu hu...

"Okey, kau tunggulah cepukan aku start esok sampai minggu depan. Faham? Sekali kau sebut tuan, seminggu kau kena cepuk. Dua kali, dua minggu dan seterusnya. So, be aware about it."

"Ya... Z... Zack." Mata Arin terkelip-kelip memandang Zack. Air matanya kelihatan bertakung di tubir mata.

Ala, kesiannya. Hu hu hu... sebijik macam anak kucing. Jahat sangat ke aku ni??

"Dah, tak payah meleleh-leleh pulak. Jom, aku teman kau call pak cik kedai. Cepat la. Nanti tutup pulak kedai tu. Kau nak aku mati kering kat sini?" Suara Zack meninggi.
"Tak nak...." Arin membalas perlahan.

Pada hal dalam hati, orang pertama yang aku nak bunuh ialah kau, Zack! Fuh, nak aje aku cekik-cekik leher dia, biar mati tak dapat oksigen, baru puas hati aku! Arin berbisik sendiri sambil tubir matanya disapu-sapu dengan hujung jari, mengelap air mata yang hampir keluar tadi.

"Helo. Saya Arin, pekerja kat rumah Dato’ Muhammad. Saya nak pesan barang-barang ni dan minta encik hantarkan. Boleh?"

"Kalau tak boleh, kata aku bagi tips, 50 nanti." Zack menyampuk.

"Kalau tak boleh, nanti saya bagi tips 50 ringgit." Arin menyebut di talian.

"Macam mana? Okey?" Zack bertanya selepas Arin meletak telefon.

"Okey! Sekejap lagi dia hantar." Arin bersuara ceria. Dia tersenyum lebar, berdiri tegak di sebelah Zack, seolah-olah puas hati dapat menelefon kedai runcit tersebut.

"Sini, duduk sebelah aku. Kau ni kenapa bengong sangat? Aku tak kata pun nak bagi tips 50 ringgit, aku kata, 50 aje. And, maksud aku, 50 tu, 50 sen. Habis, siapa nak bayar sampai 50 ringgit tu, Arin?" Zack bertanya dengan nada sederhana kuat. Kakinya yang diletak selamba di atas meja kopi di hadapannya, digoyang-goyangkan.

"Hah?? 50... sen?" Arin pucat, matanya kembali berair. Merah aje pipi semacam tomato masak tua.

"Sekejap lagi kau pandai-pandai la uruskan sendiri dengan pak cik kedai tu. Aku tak tau!" Zack berkata dengan selamba, kemudian kembali menonton rancangan TV.

Air mata Arin setitik demi setitik turun membasahi T-shirt peach yang dipakainya. Zack perasan, namun dia buat tak tahu aje. Ya la, bukan salah aku pun, dia yang memandai sendiri.

Arin berlari ke dapur dan tidak kembali ke ruang tamu lagi.

Ding! Dong! Kedengaran loceng pintu pagar utama ditekan.

"Arin! Bukakkan pintu ni! Pak cik tu dah datang!" Zack menjerit kuat. Pada hal dia dekat aje dengan pintu. Pemalas betul Si Zack ni! Aku kalau dah start membuli orang, aku akan buli habis-habisan! Tak kira la dia lelaki ke, perempuan ke... apa ke....

"Zack, bayarannya macam mana?" Arin bertanya perlahan selepas pak cik kedai itu sampai di hadapan muka pintu rumah.

"Bayar? Berapa semua?" Zack bangun mendekati Arin.

"RM139.40." Pak cik kedai itu menyebut sambil melihat kepada bil yang telah ditulis. Bil itu dihulurkan kepada Zack.

Zack membelek-belek bil itu seketika, kemudian memberikannya kepada Arin. Arin pulak merenung bil itu lama-lama.

"Okey, masukkan dalam buku dulu, nanti saya bayar. Okey, bang? Sekali dengan tips. Okey, thanks!" Zack menyambut beg plastik besar, sekali lima beg. Dah macam shopping dekat Mydin dah gayanya ni. Hu hu hu...

"Macam mana dengan tips 50 ringgit tu?" Arin bertanya di dapur selepas dia membantu Zack mengangkat beg-beg plastik yang agak berat itu, penuh dengan pelbagai sayur-sayuran dan perencah masakan.

"Pepandai kaulah, tanya aku pulak?" Zack membalas selamba. Mukanya kelihatan seperti orang yang langsung tidak berperasaan. Dia kemudian mencapai susu kotak yang baru dibeli tadi dan membuka penutupnya.

"Ohh, rindunya dekat susu." Zack mencapai sebiji gelas dan menuang susu segar tersebut ke dalam gelas jernih itu dan meneguknya gelojoh. Arin dilihatnya sedang terkulat-kulat sendirian di sebelahnya merenung dalam ke arah lantai.

"Tapi, Arin memang tak ada duit sebanyak tu. Lagipun, adik-adik dekat kampung ramai lagi yang tengah sekolah." Arin mula membuat muka kesian semacam anak kucing lapar. Tangannya memintal hujung T-shirtnya pulak.

"Kau tidur dengan aku dulu, baru aku bayarkan untuk kau." Zack bangun dan merapatkan tubuhnya pada Arin. Muka tak boleh blah betul Minah ni, dengan hidung merahnya. Hu hu hu... muka pucat tu yang aku tak tahan tu! Ha ha ha!

"Awak memang jahat! Tak berhati perut! Saya sanggup bayar daripada jual maruah saya pada awak!" Arin menolak kuat tubuh Zack dan berlari naik ke biliknya, menghempas pintu sekuat hati.

"Arin, Arin.... Suka salah faham sendiri." Zack gelak senang hati dan menggeleng kepala seorang diri. Dia kembali menonton rancangan TV di ruang tamu. Sambil-sambil itu, dia memandang keliling. Besar jugak rumah ni, tapi esok ajalah aku jelajah.

Sedang sedap Zack menonton TV, secara tiba-tiba...

"Mak aii! Anak tikus mana pulak yang gigit plak elektrik ni? Gelap la aku, mangkuk betul la!" Satu rumah black out. Dalam teraba-raba, dia teringat akan lighter atas meja kopi di situ, lantas mencuba untuk mencapainya.

"Zack! Zack!" Terdengar suara anak kucing a.k.a. Arin memanggilnya dari atas. Tahu pulak nak mencari aku. Kelihatan lampu torchlight berlari-lari ke sana sini di tangga. Mesti dia tengah turun ni.

"Huargh!" Zack menyergah Arin dari belakang selepas Arin sampai ke bawah.

"Ahh! Ya Allah! Mak datuk aku, gugur jantung!" Torchlightnya jatuh ke lantai, lalu dikutip oleh Zack.

"Akulah penunggu di sini, hua hua hua!" Zack menyuluhkan torchlight tersebut ke mukanya sambil mengusik Arin dengan suara garau.

"Zack! Zack! Tolong! Ya Allah! Qul.. auzu.. birabbin.. nas.. mali.. kin nas..." Terketar-ketar suara Arin membaca surah an-Nas. Surah itu sahaja yang terlintas di kepalanya ketika itu. Matanya ditutup rapat. Hanya mulutnya terkumat-kamit di atas lantai sejuk itu.

"Heh, bangun! Ni aku la, Zack. Boleh percaya cakap aku yang hensem ni, penunggu kat sini? Hai, Arin, Arin," ujar Zack sambil menggelengkan kepala. Torchlight di tangan, disuluh ke arah muka Arin.

"Zack ke? Zack! Arin takut gelap! Mak Timah kata dia pernah jumpa ‘benda’ dekat sini!" Arin tiba-tiba memeluk Zack. Hai, tadi bukan mainlah dia, ni bukan main pulak memeluk-meluk aku ni!

"Ya ke? Arin dah solat ke belum? Bacalah surah apa-apa buat pendinding. Tarik nafas dalam-dalam dulu, Relaks, okey? Arin tau tak kat mana kabel lektrik?" Zack tidak lagi memanggil Arin dengan perkataan ‘kau’. Buat masa sekarang, sesi membuli ditangguh buat sementara waktu. Hu hu hu...

"Kabel elektrik? Apa benda tu?"

"Mak aiii. Payah la nak cari dalam satu rumah ni kalau macam tu." Zack menepuk dahi. Nafasnya ditarik panjang.

"Arin pernah nampak tak, benda macam kotak besar, dekat dinding, selalunya warna kelabu. Dalam dia ada macam wayar-wayar.." Zack mengeluh. Dalam kesamaran lampu torchlight, tengok muka Arin yang macam ayam berak kapur tu, dia dah tau, mesti budak ni tak pernah tengok atau pun terjumpa benda tu.

"Emm, jom. Kita cari." Arin memegang kemas lengan Zack. Terasa tangannya begitu sejuk, kekuatan genggaman dia tu boleh lebamkan lengan aku ni nanti!

Setelah puas berpusing-pusing di dalam rumah itu, akhirnya mereka pun menjumpai kabel elektrik itu.

"Yeah! Jumpa jugak akhirnya! Alhamdulillah!" Zack menjerit kuat. Namun...

"Arin, nampak tak apa yang Zack nampak?" Zack bersuara perlahan, ketar sikit. Matanya masih tidak beralih pandang dari tempat yang disuluh itu.
"Apa?"

"Lari, Arin! Dia terbang!" Zack berlari sekuat hati sambil memegang tangan Arin yang terjerit-jerit kuat itu.




"BESAR ke, Zack? Rambut dia panjang tak? Mata dia merah tak??" Arin bertanya penuh semangat dengan keketaran yang nyata. Nafas mereka semput kerana berlari tadi.

"Kita kat bilik siapa ni?" Zack bertanya selepas pintu ditutup rapat.

"Ni bilik tetamu. Zack, jawab la rupa dia macam mana? Muka dia hodoh tak??" Arin masih tidak berpuas hati. Dia menggoyang-goyangkan bahu Zack yang sedang duduk di atas sofa melepaskan lelah.

"Hodoh gila yang amat! Kau tak nampak ke tadi? Aku ingat kau nampak??"

"Dia pakai baju putih? Rambut mengerbang? Apa lagi yang Zack nampak? Beritahu la kat Arin!"

"Laaa, yang kau semangat-semangat tanya aku ni, kenapa? Kalau nak tengok sangat, kau pergi la tempat tadi, senang cerita! Pergi bukak tingkap tu, aku panas gila ni!" Zack berkata dengan kuat.
"Tak nak, Zack! Arin takut kalau-kalau dia terbang masuk ikut tingkap nanti!"

"Tak apa, ni ada Ridsect! Senang aje nak bunuh!" Zack mengambil botol Ridsect yang diletakkan di bawah meja solek di sudut bilik besar itu.

"Zack, mana boleh bunuh hantu guna benda ni!" Arin memperlahan suaranya apabila menyebut perkataan hantu. Kemudian, dia menyambar botol Ridsect yang sedang digoncang-goncang oleh Zack.

"Arin. Kau ni demam ke? Bila masanya pulak aku kata aku nampak hantu? Aku nampak lipas la! Lipas. Mata kau ni kalau dah rabun tu, pergi buat spek, tau?"

"Lipas??"

"Ya la... lipas! Habis, yang kau lari terjerit-jerit dengan aku tadi tu kenapa?"

"La, Arin ingat Zack nampak ‘benda’ tu. Jom, kita pergi balik. Kalau tak, macam mana nak tidur malam ni?" Arin bertanya lagi.

"Tak nak aku! Aku trauma dengan lipas kau tau? Dah la muka tak hensem macam lipas, dah memang dia lipas punkan, hitam pulak tu! Aku paling anti dengan lipas yang berbelang-belang tu! Eee... ya Allah! Gelinya aku!"

"Zack, awak ni lelaki ke pondan? Ada ke dengan lipas pun nak takut? Takat lipas tu, patut pijak aje dah penyek!"

"Hah, dah kau berani sangat, kau pergi la on semua. Aku tunggu kat sini."

"Bak sini torchlight tu!" Arin menyambar torchlight di tangan Zack. Muka angkuhnya jelas kelihatan.

"Good luck to you, honey dew! Aku harap kau tak lah jumpa ehem-ehem kat bawah tu nanti!" Zack mengelipkan mata kanannya dan tersenyum.
Arin pucat sebentar.

"Ahh! Saya bukan penakut macam awak!" Arin berkata sombong.

"Kalau kau jumpa something, jangan cari aku pulak nanti. Babai...!"

Arin berjalan keluar. Zack menutup pintu dan membuka tingkap. Lampu di luar agak terang untuk menerangi sehingga ke dalam bilik itu. Zack menyelongkar laci. Eh, ada lilin! Wah! Romantiklah aku malam ni. Hu hu hu... dia pun menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan lighter yang diambil tadi.

"Ahh! Zack! Tak nak! Arin takut!" Tak sampai seminit Arin keluar, dia berlari masuk kembali ke bilik tetamu itu. Zack ketawa di dalam hati.

"Kenapa, Arin? Arin nampak apa tadi dekat luar? Ada luka kat mana-mana tak?" Zack membuat kecoh, padahal saja nak memerli Arin.

"Takut! Arin dengar macam bunyi orang berjalan tadi!"

Entah-entah bunyi tapak kaki sendiri. Arin sembunyi di dada Zack. Hai, apa-apa kes mesti nak peluk aku jugak!

"Dah, ya sayang. Jom kita tidur. Abang dah nyalakan lilin untuk kita. Romantikkan malam pertama kita, sayang?" Zack senyum lebar. Hua hua... comelnya muka kau, Arin! Aku paling suka tengok muka pucat kau tu, yang membawa maksud, lakonan aku menjadi!

"Apa ni, Zack??" Arin pantas menolak kuat tubuh Zack.

"Sayang, kau dengarkanlah aku berkata-kata. Wajahmu ibarat sang bulan yang penuh dengan lobang dan kawah yang dalam, hidungmu yang mancung, ibarat serombong kapal Titanic yang sudah tenggelam."

"Diamlah, Zack!"

"Apa kau kata? Kau suruh aku diam?? Siapa bos sekarang? Siapa orang gaji sekarang? Beritahu aku??" Zack menyinga, berlakon lagi!

Arin kembali ke alam nyata. Teringat adik-adik di kampung, dia rasa bersalah.

"Minta maaf, tuan!"

"Dah la. Malas aku nak mengusik kau lagi. Aku nak tidur. Kau pergi ambik buku dalam laci tu, kipaskan aku sampai aku tertidur! Nak usik sikit pun tak boleh. Tak sporting langsung!" Zack membebel seorang diri. Tapi aku kan ‘lelaki’ pada pandangan dia, macam mana dia nak sporting dengan akukan. Hu hu hu... akhirnya dia pun terlena dengan Arin yang mengipasnya di sisi.

"Uhh, pukul berapa ni? Kacau la nyamuk ni! Isyy!" Zack yang terjaga, tiba-tiba bangkit. Arin sudah terlena di sisinya, duduk atas lantai aje dia mengipas aku tadi.. Hu hu hu... kesian dia. Tapi nak buat macam mana, dah aku ni memang jenis macam ni. Tunggu umur empat puluh tiga dulu kut, baru hilang kenakalan aku yang dah lama bermaharajalela ni.

"Arin, Arin... bangun la, tidur kat atas katil. Arin...!!" Zack menggoncang-goncang bahu Arin, namun gadis itu tidur tak ingat angkasa dah! Mungkin penat sangat kut kena buli dengan aku. Hu hu hu...
Zack mendukung Arin dan dibaringkan di atas katil. Tak sampai hati pulak nak biarkan budak tu tidur atas lantai aje. Kemudian, dia pun turun ke bawah, ke tempat kabel elektrik semalam dengan Ridsect dan torchlight di tangan. Aku tak takut gelap or hantu, aku cuma tersangatlah ‘sayang’nya kepada binatang-binatang ‘kesayangan’ aku yang bermacam-macam jenis itu.

"Haa, baru cerah sikit dunia aku ini." Zack kembali ke atas selepas menutup kembali semua lampu yang terbuka sendiri kerana tidak ditutup semalamnya.

Selepas solat Isyak dan Subuh di bilik siapa entah, yang pasti ada telekung dekat situ, Zack pun mengejutkan Arin.

"Wei, Rin! Bangun la. Dah nak cerah dah alam kurniaan Tuhan ni. Karang terlepas subuh kau." Zack menepuk-nepuk pipi Arin. Ni, sah tidur tak ingat dunia macam aku ni!
"Uhh, kambing mana mengembek pagi-pagi ni? Kacau la orang nak tidur!" Arin bergerak-gerak sebentar dan berpaling ke arah lain.

Hampeh! Apa punya makhluk la! Dia panggil aku kambing? Yang mengembek pulak tu?? Hai, kau ni memanglah, Arin. Aku baru ingat tak jadi nak cepuk kau tiap pagi, tapi nampak gayanya, memang jadilah sebagai hadiah kau panggil aku kambing!

"Aduh! Sakitlah, mangkuk!"

Arin bangkit secara automatik selepas kepalanya dicepuk Zack. Kelihatan Zack sedang merenungnya tajam, semacam perogol bersiri yang sedang diselubungi oleh kejahatan yang nyata. Arin segera menekup mulutnya, baru sedar dia tersilap cakap, dia membetul-betulkan rambutnya dan segera bangun untuk melarikan diri.

"Woo, please wait for a minute, honey. Kau tau apa kesalahan kau pagi ni?"

Arin menggeleng lembut, dengan muka meminta belas kasihan daripada ‘perogol’ bersiri itu. Tangannya dicengkam erat oleh Zack.

Buatlah muka anak itik plastik kau tu, aku tak heranlah!

"Saya... saya... Min.. minta maaf. Saya tak sedar yang..."

"Ahh! No explaination! Kau nak aku buat apa untuk aku lepaskan kau ni?"

"Maafkan saya, boleh?" Muka Arin berseri-seri tiba-tiba.

"Dahlah. Pergi solat. Muka dengan air liur basi, be faster, aku nak breakfast!"

"Baik, encik!" Arin berlari-lari keluar dari bilik tersebut. Aku tak bagi dia panggil tuan, dia panggil aku encik pulak dah! Hai la....

Tapi okey jugak apa! Hu hu hu... pertama kali aku dapat maid yang muda, tak macam mak cik-mak cik yang ada kat rumah aku di Perak tu. Aku nak buli pun payah! Memanglah nasib aku yang comel ini. Hu hu hu...

Zack turun ke taman menghirup udara pagi yang segar. Gila best rumah atas bukit! Pagi-pagi mesti berkabus. Wow! Cantik gila pemandangan kat sini! Eh, ada kolam ikan.

"Hai, ikan. Aku Zack, tuan kamu yang baru. Hu hu hu... lapar tak? Nah, aku bagi makan." Zack mencapai bekas makanan yang diletak di situ, dan menuang makanan itu banyak-banyak ke dalam kolam.
Dia membelek-belek jenama makanan ikan itu? Matanya membulat. Whiskas? Muka kucing terang tang-tang terpampang di situ. Habislah mati ikan-ikan ni! Sedap pulak tu ikan-ikan tu semua menyambar-nyambar Whiskas yang dituang.

"Oh, tidak! Ikan koi mama! Ya Allah, kau janganlah matikan si ikan-ikan ni semua! Fuh, fuh, fuh!" Zack menadah tangan berdoa dan menghembus-hembus ke kiri kanannya, macam tuk bomoh nak halau hantu pun ada!

"Encik!" Arin tiba-tiba menyergahnya dari belakang, cerianya muka!

"Oh, mak kau! Isyy, kau ni. Apesalnya ni? Tepi sikit. Kau tolong bersihkan kolam ni. Kotorlah aku tengok!" Padahal, dia yang pergi tuang bukan main banyak Whiskas ke dalam kolam tu. Hu hu hu...
"Siapa nak buat breakfast, encik?"

"Eh, kau ni... jangan nak berformaliti dengan aku boleh tak? Panggil ajalah aku Zack! Budak ini, aku cepuk karang! Aku buat breakfast! Pergi bersihkan cepat!" Kuasa veto di tangan aku sekarang. Ha ha ha!

"Ya la!" Arin menjelir lidah ke arah Zack.

Zack melangkah masuk ke dalam. Aku harap ikan-ikan tu makin buntal, bukan meninggal! Dah la mahal nak beli sekor pun. Bukan dapat 2, 3 ringgit. Bukan macam ikan gapi yang aku selalu tangkap dalam parit depan rumah aku dulu tu!

Zack mencapai tin sardin dan roti keping yang dibeli semalam. Selepas menyapu marjerin, dia menyapu sardin yang sudah dihancur-hancurkan ke atas rotinya. Emm sedapnya sardin ni. Sardin? Kenapa Din di belakangnya? He he he... tiba-tiba boleh pulak aku teringat dekat Abang Din. Hu hu hu... apa dia buat ya sekarang? Jam di dinding tepat 7.15 pagi. Mesti dia tengah tidur nikan? Aku nak pergi melawat dialah kejap. Sebabnya, dia baik gila dengan aku! Gila, jarang nak jumpa lelaki yang layan aku baik-baik macam dia. Hi hi hi...

"Eh, Cik Kitten!" Zack menjerit dari dalam, tak ada sahutan.

"Arin!"

"Yes, boss?" Tercangak muka Arin dengan rubber gloves kuning yang menyarung tangannya.

"Mana buku resepi yang kau kata tu? Aku nak masak bubur!"

"Ada dalam laci tu, bos!"

Hisyy, budak ni... memang tak faham bahasa betul. Lepas tuan, encik, lepas encik, bos pulak dia panggil aku. Lepas bos, apa lagi? Aku cepukan dia ni.

"Kejap, emm... saya nak tanya. Macam mana saya boleh ada atas katil pagi tadi?"

"Entahlah! Kau agak, siapa yang nak angkat kau?"

Muka Arin merah, dan dia terus berlalu.

Berdasarkan buku resepi tersebut, Zack mula memasak bubur jagung menggunakan jagung di dalam tin, khas untuk Abang Din. Eh? Apa kes aku nak masak untuk dia pulak? Ini untuk perut aku la. Sibuk apa pulak aku nak pergi masak untuk dia? Tanpa sedar, Zack termenung sebentar mengingati wajah Abang Din.




"ARIN! Sini kejap. Tolong rasa sikit bubur yang aku masak ni?" Zack memanggil Arin yang sedang sibuk mencuci kolam di luar. Kalau kecil tak apa jugak, ini sebesar-besar kolam dengan air terjunnya lagi. mahu patah pinggang nak mencuci!

"Mak aiii, bos! Kenapa rasa semacam telur masin aje ni??" Arin mengerutkan dahinya tanda kemasinan yang amat.

"Hah? Masin? Biar betul punya masin ni? Tak tipu?" Aiii... betullah rasa lidah dan anak tekak aku tadi, memang masin. Hu hu hu... ya la, first time in my life memasak bubur! Tapi punyalah teruknya, sampai garam dengan gula pun tak boleh nak beza! Anak siapa lah tu?

"Betul, bos!" Arin tergangguk-angguk laju.

"Arinku sayang. Please... jangan panggil abang hensem ni bos, and yang seangkatan dengannya lagi. Boleh tak?" Zack merenung ke dalam muka Arin dengan suara sehabis romantik. Tidak semena-mena muka Arin merah lagi. Aduh, apa kes asyik blush-blush pulak pipi ni? Jangan la dekat-dekat, Zack. Ya Tuhan! Wangi pulak tu badan dia. Perfume apa dia pakai ni? Kuatkanlah iman aku, ya Allah! Arin bersuara di dalam hati.

"Arin? Dengar tidak aku cakap ni?" Zack hairan melihat Si Arin yang tiba-tiba aje tersenyum-senyum dan tertunduk malu. Sama kes dengan budak Tadika bercakap dengan secret admirer dia, dengan tangan meramas-ramas tangan sebelahnya lagi. Pening jugak aku tengok dia ni. Tersampuk agaknya?

"Dengar. Baik, Zack. Saya... ermm... pergi terjun kolam dulu ya." Arin tersipu-sipu malu dan terus keluar menuju ke kolam.

"Eh, kejap. Buat apa kau nak terjun kolam?"

"Siapa nak terjun kolam?" Arin bertanya kembali, lembut. Matanya nampak malu-malu merenung ke arah Zack.

"Aduh, Men in Black punya kes ni! Yang kau sebut nak terjun kolam tadi tu kenapa?"

"Ada ke saya sebut?" Arin berfikir sejenak.

"Arin, kau kalau tak sihat beritahu aku. Ada masa tertentu, sawan kau datang ya?" Zack bertanya selamba sambil menghadap Arin.

"Tak ada apa-apa. Saya sihat aje, Zack," jawab Arin dan terus berlalu dengan tenang. Macam tak ada apa-apa pun yang terjadi. Eh?

Zack masuk dan berfikir, apa patut aku buat dengan bubur masin tahap air laut ni? Buang? Oh tidak sekali-kali! Aku tak suka membazir, tambahan lagi kalau makanan. Sebabnya, kita patut bersyukur dapat makan, orang lain sampai meninggal-ninggal tak dapat makan. Bukan sikit-sikit yang mati sebab tak makan, tiap hari dua puluh lima ribu orang mati sebab lapar! Aku tak reka, ni kenyataan! So conclusionnya, jangan buang-buang.

Yap! Idea!

"Arin! Tak habis-habis lagi ke kau proses kolam tu? Sini, masuk makan dulu. Aku buat special punya meal." Karang mati pulak anak orang ni, suruh buat kerja tak bagi makan. He he he....

"Arin, kau makan dulu. Aku nak naik tukar baju kejap, nak keluar kejap lagi." Zack meninggalkan Arin dengan sandwich dan jagung yang dah dibasuh dan dicampur dengan marjerin, mayonis, gula dan garam sikit.

"Awak nak tinggalkan saya sorang-sorang ke?" Arin bertanya.

Haah. Mana boleh aku tinggalkan dia sorang-sorang. Jadi apa-apa, payah pulak.

"Emm, kolam dah cuci? Lepas makan, siap. Ikut aku keluar, okey?"

"Ya, Zack!" Arin menyuapkan makanan cepat-cepat. Tak boleh makan lama-lama sebab dia bersiap lamanya kalah orang sembelit melabur!

Zack memakai seluar jean hitam dan baju T-shirt putih, kemudian jaket kulit berwarna hitam disarung di luar. Hai, mama ni memang memahami aku. Tau aje baju yang aku suka. Mujur dia tak bawak baju kurung aku datang sini! Sekali lagi dia spray perfume Boss for Men pada badannya.

Kemudian dia turun. Sambil menunggu Arin, dia melawat-lawat kolam ikan yang dicuci Arin tadi.

"Ikan, kau sihat tak? Tak rasa pening-pening ke makan Whiskas tadi. Hu hu hu... kalau pening, aku bawak kau pergi klinik."

"Zack, jom! Arin dah siap."

"Mak datuk! Kau nak pergi kenduri ke, Rin??"

Arin tersengih-sengih. Baju kebaya pendek ketat berwarna putih, berkain batik hitam tersarung cantik di tubuhnya.

Zack menelan air liur. Matilah kalau lelaki mengurat dia nanti! Dengan bersanggul, memang cun habis! Mujur iman aku (ehem) still kuat dan tak tergugat. He he he....

"Baju ni Datin Gold hadiahkan. Cantik tak, Zack?" Arin pusing-pusing depan Zack dengan senyuman manis. Gerenti cair kalau Shah Rukh Khan tengok.

"Cantik memanglah cantik, Arin. Tapi, tak sesuai dengan occasion kita ni. Arin pergi tukar, bolehkan?" Zack memujuk lembut. Mesti dia kata tak nak ni, menyusahkan orang! Gerenti punya.
"Okey, tak apa. Zack nak Arin pakai macam mana?"

Mak aiii! Biar benar budak ni? Nak kata tertelan racun tikus, tak. Termakan Whiskas pun tak. Tersambar kilat lagi, tu no comment. Hu hu hu... pelik semacam. Semalam lain, hari ni lain pulak. Hisyy, risau pulak aku jadinya!

"Baju kurung and tudung. Is it okay? Fine with you?"

"Okey, Zack!" Arin tersenyum lebar. Kemudian melompat-lompat masuk ke dalam menukar baju dengan senang hatinya. Giler happy. Apesal agaknya?

Zack merenung Porshe warna hitam di depannya. Ni, kalau buat modal mengurat perempuan, campur dengan kehenseman aku, boleh cakap besarlah yang 387 orang gadis, mak cik tua, tak berkelip memandang aku. Hu hu hu....

Gadis, of course nak aku jadi kekasih. Mak cik tua, menantu la, beb. Orang sekarang, harta dan rupa yang penting, bukan agama. Tapi kalau nak ukur agama aku ni, 20 percent pun tak ada lagi hehe insaf sekejap. Uhh, tapi tak ada maknanya aku nak mengurat perempuan. Mana aku nak letak si Abang Din tu. Hu hu hu...

Sepuluh minit menunggu, Arin keluar dengan bertudung. Ayu jugak walaupun tak bersolek.

"Okey tak, Zack?"

"Kan comel kalau pakai tudung. Jom!"

Arin tersenyum dan menuju ke pintu kereta Porshe selepas pintu rumah dikunci.

"Kenapa tak bukak pintu kereta, Zack?" Arin hairan.

"Kita jalan kaki!"

"Jalan??"

"Yap! Excersice! Aku tengok badan kau macam banyak lemak aje, so kita jalan-jalan biar kemontelan kau tu berkurang sikit," ujar Zack senang.

"Bila Arin montel pulak? Ini montok tau?"

Zack gelak mendengar jawapan sambil membuka jaket kulitnya tadi. Panas.

"Zack, naik kereta la. Arin rasa tak larat nak jalan jauh."

"Meow! Aku tak ada lesen. Lesen aku dah kena curi. Kalau ada polis, macam mana? Dah, jom. Bawak payung. Kaukan puteri lilin!" Tengok kulit putih Si Arin ni, aku tau dia mesti takut matahari. Lagipun, matahari dunia ni dah semakin bahaya. Boleh kena kanser kulit kalau dedah lama-lama dekat cahaya matahari tu! Tambah lagi, orang kulit putih berisiko tinggi daripada orang kulit gelap. Hai, bersaintifik pulak aku.

"Pagi-pagi tak apa kena matahari. Sampai pukul sepuluh, cahaya tu kira vitamin D untuk kulit. Kalau up then 10 a.m, kau kena pakai sunblock. Kau ada sunblock tak? Nanti aku belikan kalau kau tak ada." Zack membebel sambil berjalan. Hati Arin berbunga tulip. Wah, caringnya dia! How cute!

Mereka berjalan beriringan sehingga ke jalan besar, kemudian Zack menahan teksi.

"Bro, bro stop dekat A.T.M. kejap." Zack berkata selepas duduk di dalam perut teksi Iswara merah itu.

"Arin, kau kena sabar and tahan, okey? Hari ni, selagi aku tak putuskan urat kaki kau, kau anggap aku bukan Zack. Hu hu hu..."

"Putus... urat?" Arin telan air liur.

"Lepas ni gerak pergi JPN ( Jabatan Pendaftaran Negara), bro."

Habis di JPN, mereka ke JPJ ( Jabatan Pengangkutan Jalan) pula bagi menguruskan lesen Zack yang hilang. Kemudian, mereka berhenti di sebuah shopping complex berdekatan.

"Kau larat lagi tak? Tu dia la... aku habaq awai-awai dah tadi, hang jangan pakai kasut tinggi, hang tak mau dengaq, ketegaq sangat, kan dah tak larat jalan?" Zack membebel dengan loghat utaranya.
"Berhenti duduk kejap, Zack." Arin berhenti dan duduk di sebuah kerusi panjang di situ.

"Kau duduk sini, jangan pergi mana-mana, okey? Berapa saiz kaki kau?"

"Lima."

"Bapak kecil. Hu hu hu... tunggu sini."

Lapan minit berlalu...

"Nah, tukar kasut. Minum air. Hai, baru jalan sikit, dah semacam mak nenek tua. Pucat and berpeluh-peluh! Tu la. Kau kena rajin bersenam macam aku ni. Tengok, badan pun maintain tough aje. Padan tak sandal tu? Pandai tak aku pilih untuk kau? Comelkan." Zack senyum bangga.

"Terima kasih, Zack." Arin terharu la pulak.

"Ala, poyo-poyo pulak kau ni. Sikit air, dahaga tiba-tiba. Tadi tak rasa." Zack dengan selamba, menghirup jus oren menggunakan straw yang diguna Arin tadi.

"Orang kata, kalau minum guna satu straw, nanti cepat serasi." Arin bersuara ceria.

"Jom! Kau tak nak ke serasi dengan aku? Baru happy!" Zack meletak tangannya pada bahu Arin dan mereka berjalan beriringan. Lahir rasa bahagia dan bunga-bunga wangi di hati Arin.

Mereka berdua menjadi perhatian sepanjang mereka berjalan, bukan sebab kedua-duanya cun and comel, tapi sebabnya kecoh nak mati! Sekejap je Arin sudah serasi dengan Zack, bukan sebab share straw, tapi sebab Zack memang caring and attractive! Wah! Kenapa ni? Bukan ke semalam aku sibuk duk mengata dia perasan bagus, alih-alih hari ni aku kata dia caring pulak? Something wrong somewhere..? Wayar mana pulak putus kali ni hehe.

"Kau rasa baju mana cun? Yang ni okey tak?" Zack cuba memadankan sehelai baju T-shirt ke tubuhnya.

"Aku nak hadiahkan baju ni kat sorang pak cik tu."

"Pak cik? Kalau macam tu, baju ni tak sesuai, Zack. Dah tua-tua ni, kena pakai yang gelap-gelap aje, baru la padan dengan dia yang dah tua tu," balas Arin.

"Tak apa, dia muda lagi Arin. Dalam 30-an. Tapi, tak nampak pun macam muda. He he he...." Zack senyum lebar, moodnya sangat baik hari ni, entah kenapa dia pun tak tau jugak.

"Eh? Dah pukul dua. Jom Arin, aku nak jumpa pak cik tu pulak. Karang dia pergi kerja, payah dah nak kacau."

"Okey." Arin senyum lagi.

"Assalamualaikum, Bang Din! Ooo Bang Din." Zack mengetuk pintu dan memberi salam sebijik macam dalam kartun Upin Ipin.

"Waalaikumussalam. Zack! Masuk. Masuk! Amboiii... banyaknya barang. Shopping sakan, dik?" Oh, hensemnya dia walaupun pakai baju pagoda aje! Eh, aku lagi hensem la. He he he....

"Macam mana? Dah jumpa mak?"

"Dah. Dah okey dah semua, bang. Insya-Allah, beres aje semua masalah nanti. Eh, lupa pulak. Ni kawan saya, Arin. Arin, ni Bang Din."

Arin angguk dan senyum aje kat Abang Din. Matanya masih terkelip-kelip memandang atas bawah, kiri kanan rumah Abang Din. Sebijik macam aku dulu. Ha ha ha... terkejut la tu.

"Zack, jom balik." Arin tiba-tiba bersuara lepas lama mendiamkan diri dengan keadaan rumah Abang Din.

"Kenapa?" Aduh, aku baru nak melepas rindu (ehem) kat Abang Din ni! Huh, tahun bila aku pandai melayan rindu-rinduan pulak dah? Isyy, kes berat ni beb!

"Arin pening-pening, rasa loya nak muntah." Muka Arin nampak betul-betul menderita nak muntah. Tadi okey sihat walafiat, alih-alih datang sini, terus nak termuntah!
"Betul-betul ke ni, Arin?" Zack bertanya lagi. Muka Abang Din dah seram. Satu, dua...

"Be.. uwekk." Arin muntah atas baju Zack, tepat dekat dada Si Zack! Aduh, muntah keluar habis bermacam-macam warna! Aku nampak jagung, burger kecil-kecil, salad pun ada! Hai, ni mesti makan main telan aje ni. Tu yang tak hadam tu!

"Zack, tengok apanya? Bangun, tukar baju baru. Lepas ni bawak Arin balik, okey?" Boleh pulak budak ni berkhayal, bisik Abang Din.

"Arin, kau okey tak? Aku bawak kau pergi klinik ya kejap lagi." Zack mendekati Arin lalu mengurut-urut dada dan belakang Arin.

Abang Din hanya melihat, dalam hati rasa cemburu mula mendidih. Kenapa aku kena cemburu pulak? Padan la dia dengan perempuan, takkan nak berpasang dengan aku yang lelaki ni? Abang Din cuba menenangkan hatinya.

"Arin baring dulu, kejap lagi kita balik." Zack membaringkan Arin di atas tilam. Mukanya yang tadi ceria nak mati, dah berubah terkerut-kerut. Apa dah jadi dengan dia?? Zack mula risau.

"Bang Din, sorry menyusahkan abang lagi."

"Tak apa. Jaga dia elok-elok." Abang Din mula rasa patah hati and frustrated. Namun mukanya cuba diceriakan macam selalu. Dia orang nampak memang serasi. Mungkin aku kena lupakan Zack. Aku yakin dia normal. Takkan nak terima aku yang gay ni??

Zack memapah Arin sambil Abang Din membawakan barang-barang yang dibeli tadi dan menahan teksi.

"Thank you, bang! Lupa, ni hadiah untuk Bang Din. Babai bang, jumpa lagi nanti." Zack memberikan bungkusan plastik kepada Abang Din. Kenapa kau suka buat aku rasa bahagia, Zack?

"Arin, kita pergi klinik, okey?"

Muka Arin pucat, dia mengangguk dengan matanya tertutup.

"Baring atas aku." Arin dibaringkan atas paha Zack. Sesampainya di klinik, Arin pun dikejutkan, namun dia hanya diam membatu.

"Rin! Kau dah mati ke, Rin? Kejap, jangan mati dulu. Aku tak sempat nak minta maaf kat kau lagi!" Cepat-cepat Zack membayar tambang dan mendukung Arin ke dalam klinik. Sejam lebih Zack menunggu, akhirnya doktor pun keluar.

"Macam mana dia, doktor? Hidup lagi tak?" Zack membuat kecoh di klinik itu.

"Tenang, encik. Dia selamat dan okey. Tahniah, encik bakal jadi papa. Babynya dah dua bulan," kata doktor wanita itu sambil tersenyum.

"Papa?" Bergegar satu klinik dengan suara Zack. But, am I suppose to be a mama, not a papa??

Bila masa aku pergi sentuh dia? Kalau ya pun aku sentuh, tak ada maknanya dia nak pregnant!

"Isteri encik dah boleh balik kejap lagi. Tapi pastikan dia cukup rehat dan tak stress untuk kesihatan baby dia. Selalu buat check up, okey?"

Zack angguk aje mendengar nasihat doktor itu. Nak aje aku kata dia ni salah orang. Aku ni bukan suami Arin, apatah lagi papa untuk anak Si Arin tu! Tapi, pelik jugak kenapalah suara aku ni dah tersekat kat tekak!

"Arin. Kau okey tak?" Zack bertanya selepas Arin keluar.

"Okey. Sorry, Arin muntah kat baju Zack tadi," kata Arin sambil tertunduk merenung kasut.

"Kau larat tak nak jalan ni?"

Arin angguk sikit.

"Minta maaf sebab dah menyusahkan Zack."

"Kau tak payah risau la pasal tu. Aku cuma nak tau apa yang dah jadi dekat kau?"
Arin diam.

"Arin, kau dengar tak aku cakap apa ni?" Zack memegang lengan Arin, kuat.

"Ya... Arin dengar. Kita cerita kat rumah aje, boleh tak?"

"Tapi Arin... aku nak tau sekarang jugak! Aku betul-betul tak dapat tahan lagi nak tau apa dah jadi kat kau? Ada orang rogol kau ke!" Zack jerit kuat. Tak puas hati beb! Orang di klinik mula menjeling ke arah mereka. Kemudian, Arin menarik Zack keluar.

"Kat rumah, boleh tak Arin cerita?" Arin menjawab. Matanya hanya memandang ke bawah.

"Nope! Jom kita pergi minum and kau boleh cerita kat aku dari A sampai Z." Zack menarik Arin. Muka sebijik macam baby baru bangun tidur. Mesti dia menangis tadi, lepas tau dia pregnant.
"Kau nak minum apa?"

Arin menggeleng. Dari tadi asyik tunduk-tunduk aje.

Zack mengeluh. Dia tahu dan faham perasaan Arin sekarang. Kemudian dia cuba bersabar untuk tidak terus memaksa Arin menjawab persoalannya tadi.

"Emm... sorry, miss. Tolong cancel air yang saya pesan tadi. Thanks!" Zack bangun dan mengangkat semua beg plastik yang diheret ke hulu ke hilir sejak tadi lagi.

"Jom kita balik." Zack menggenggam pergelangan tangan Arin.

Arin bangun dan berjalan lemah mengikuti langkah Zack.

Sampainya mereka di rumah, Arin terus naik ke biliknya. Hai, lupa dah janji dia dengan aku tadi? Emm, tak apa ajalah. Aku tak boleh paksa-paksa dia pulak, nanti kalau dia lari dari rumah, hah, tak ke naya aku nak cari balik pulak!

Zack naik dan lepak atas katil. Hisyy, penat gila sewel!

Zack merenung siling, matanya dah lali dan gaya dah nak tertutup dah. Uhh, pukul berapa ni? Zohor tak solat lagi ni. Dia bangun mengunci pintu bilik dan solat kemudiannya.

"Ha ha ha....! Cutenya Doraemon! Siot betul Nobita!" Zack gelak sendiri sambil membaca komik Doraemon yang dibelinya tadi. Mata terus segar selepas solat. Baik la mengaji Quran daripada duk membaca buku komik tu.

"Zack. Awak kat mana? Sini ke?" Arin mengetuk pintu biliknya kuat. Haah, lupa pulak aku kat budak tu! Sibuk dengan cerita Doraemon mengembara. He he he....

"Yap, yap! Aku kat sini, masuk la!"

"Kunci!" Arin bersuara dari luar. Macam bunyi tikus pun ada aku dengar. He he he....

"Sekejap!" Zack bangun dan membuka pintu.

"Come in!" Zack kembali ke katil dan duduk bersila.

Arin berdiri tegak sambil menggigit bibir di tepi katil.

"Sini, duduk sopan-sopan." Zack menepuk-nepuk tilam, isyarat menyuruh Arin duduk di situ, berhadapan dengannya.

Muka Arin merah. Dia pun duduk, kakinya dibiar mencecah karpet gebu di bilik itu.

"Are you sad, Arin?" Zack menyentuh dagu Arin, lembut. Mata Arin merenung mata Zack. Tidak semena-mena Arin memeluk Zack dan dia menangis tersedu-sedu.

"Syyy... come on, Arin. Beritahu aje apa yang kau nak beritahu. Aku ada kat sini, okey? Dah. Jangan nangis lagi. Muka dah macam Ronald Mc Donald dah, hidung merah." Zack menepuk-nepuk belakang Arin perlahan. Hai, dah macam psychologist pulak dah aku ni.

"Minta maaf, Zack. Arin tak ada tempat lain nak mengadu." Arin melepaskan pelukannya. Air mata yang mengalir disapu perlahan-lahan dengan jarinya.

"Kau dah ready nak cerita kat aku? Kalau belum, tak apa... aku tak paksa." Ceh! Ayat tak tahan betul! Padahal kalau ikut hati, memang aku dah cekik-cekik dia suruh cerita semua. Hu hu hu....

"Dulu, Arin ada kekasih. Nama dia Shah. Dia memang hensem, Zack. Semua perempuan pun mesti suka kat dia." Arin mula menceritakan kisah silamnya.

"Ehem! Mana lagi hensem, aku ke dia?" Zack menggosok-gosok dagu dan membuat muka maconya. Maco la sangat. Hu hu hu....

"Zack!" Arin menjeling manja sambil mencubit lengan Zack.

"Okey, okey, tak. Sambung..." Zack berkata sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya serupa orang give-up.

"Satu hari, dia ajak Arin keluar. Arin tak tahu dia nak bawa Arin pergi rumah sewa dia. Arin kata tak nak masuk, tapi dia kata Arin tak sayangkan dia kalau Arin tak nakmasuk." Arin berhenti kejap, dia tarik nafas dalam-dalam.

"Dalam rumah, dia mula raba-raba Arin." Dia menyambung, kekadang termenung sebentar sebelum meneruskan penceritaannya. Zack mendengar dengan penuh minat semacam seorang anak mendengar ibunya bercerita kisah penglipur lara zaman dahulu kala.

"Kenapa kau tak tepis?" Zack bengang. Sial punya kodok! Gatal nak mati raba-raba anak dara orang!

"First time rasa, Arin tak kuasa nak tolak..." Arin tertunduk. Mungkin menyesal.

"Lepas tu, dia mula pujuk ajak Arin buat... ehem..." Arin terhenti.

"Okey... okey... aku faham. Just aku nak tanya. Kau memang rela la nak ‘kena’ dengan dia?" soal Zack serius.

"Arin tak tau yang kalau Arin buat benda tu, boleh mengandung. Sebab tu Arin nak tanya Zack, sebab tu ke Arin mengandung?" Muka pulak blurred tak tahan.

"Mak aiii... sayangku, Arin! Kau ni sah-sah la tidur masa kelas sains tingkatan tigakan?" Aku paling tak boleh lupa belajar Sains pasal bab ni la! Masuk bab-bab 18 SX aje, budak laki-laki kelas aku mula la buat muka gatal and sengih-sengih macam kera sumbang. Budak perempuan pulak, malu-malu and muka merah. Aku jugak yang steady, beb. No hard feeling. Hu hu hu....

"Arin kuat tidur masa sekolah, tambah lagi masa subjek sains." Arin tunduk lagi.

Zack garu kepala. Tak boleh tolong la kalau dah macam tu.

"Arin... Arin.... Itukan benda basic aje? Sini la aku ajar kau. Ni sperma. Ni pulak ovum." Jari telunjuk tangan kanannya digerak-gerakkan seperti ulat. Manakala jari telunjuk tangan kiri pulak dibentuk seperti huruf O.

"Ini, yang macam ulat ni, namanya sperma, telur untuk lelaki. Yang bulat ni, ovum, telur kau dengan kata lain, perempuanlah, kan. Bila ulat ni masuk dalam benda bulat ni, makanya akan terjadilah persenyawaan. Kesimpulannya, sperma campur ovum, sama dengan baby. Kau faham tak?" Arin geleng.

Lambat pick up betul.

"Okey, senang ceritalah... aku bagi contoh sharpener dengan pensel. Perempuan dengan lelaki. Kau bayanglah sendiri bendanya, aku kiaskan aje. Tak nak aku sebut benda alah dua ketul tu. Kau faham maksud aku?" Angguk la, jangan geleng wahai Arin!

Arin diam. Matanya membulat merenung dinding. Ada movie ke kat dinding ni? Zack pandang ke tempat yang dipandang Arin tu. Tak ada apa-apa. Normal macam biasa. Selepas itu, Arin pun mengangguk. Fuh, lega!

"Then, kalau pensel masuk dalam sharpener, jadilah yang macam aku cerita tadi. Kau ada buat macam tu dengan dia?"
Arin angguk selepas beberapa ketika dia berfikir..

"Mungkin kau tengah subur masa tu, that’s why la kau boleh pregnant sekarang." Zack menambah.

"Jadinya, lepas ni kau jangan percaya pujuk rayu lelaki lagi. Bukan semua lelaki baik. Kau kena ingat pesan aku ni. Tubuh badan kau tu, hanya untuk suami yang sah. Bukan Shah, yakni boyfriend kau tu, atau pun lelaki lain. Dah tu, dia tau tak condition kau sekarang ni?"

Arin geleng.

"Dia dah lari, Zack. Arin tak tau dia kat mana sekarang ni. Dia janji nak jaga and kahwin dengan Arin. Tapi tu semua tipu aje. Arin kecewa dengan dia, sebab tu Arin datang cari kerja kat sini."

"Sabarlah, okey? Akukan ada. Aku bukan dayus macam dia. Aku akan jaga kau selagi boleh, Rin. Insya-Allah." Zack memberi kata-kata semangat pada Arin. Nakal-nakal aku pun, takkan aku sanggup nak biar dia sorang diri? Kejam sangat namanya tu!

"Thanks, Zack... sebab faham keadaan Arin."

"Dah, lain kali hargai ilmu, okey? Kalau kat sekolah atau ke mana ajalah, kau jangan tidur-tidur lagi! Kalau tak, macam nilah jadinya." Hai la. Nampaknya, memanglah aku yang akan menjadi ‘papa’ si baby dalam perut Arin tu.

"Baik, Zack."

"Kau pergilah rehat, Rin. Kalau ada apa-apa, panggil aku, okey?"

Arin angguk dan berlalu keluar.

0 comments:

Post a Comment



 
Blog Promosi Novel Bini Aku Tomboy Ke? dari Arisa Eriza, Terbitan Kaki Novel. Reka Bentuk Oleh www.penulisan2u.my