Bini Aku Tomboy Ke?

Karya Dari Arisa Eriza

APA KATA WATAK?


"Tak apa. Kalau aku jadi hantu, senang aku nak datang cari kau. Tak payah naik kereta and ketuk pintu rumah kau. Aku datang terbang melayang aje, putih-putih. Nanti kalau ada benda putih ketuk tingkap rumah kau, kau jangan tak bukak pulak, ya?"

APA KATA WATAK?


"Woi! Cekadak kering! Apa kes kau nak ajak-ajak aku keluar pulak ni, hah? Kau dah ada awek, buatlah cara dah ada awek! Setia pada yang satu!" Zack menjerit kuat di dalam kereta selepas dia menghubungi Azim.

Bini Aku Tomboy Ke? - Bab 18

18

MARIA menatap wajahnya pada cermin di ruang tamu. Semangatnya sudah kembali seperti dahulu, cuma rasa cinta dan kasihnya pada si suami semakin berkurang dari masa ke semasa. Tambahan pula, suaminya kelihatan begitu dingin dengannya. Namun, dia juga tidak mengharap yang suaminya itu kembali seperti dulu.

"Turunlah... I dah masakkan nasi goreng untuk you. Baju and seluar I dah seterika, I gantung dalam almari," ujar Maria tepat pukul tujuh setengah pagi. Mukanya dijengukkan ke dalam bilik tidur. Seawal enam pagi selepas solat Subuh, dia terus turun dan menyiapkan semua kelengkapan untuk suami dan anak-anak mereka yang masih belajar.

Suaminya biasa bekerja setiap hari Sabtu. Selalunya memang susah kalau nak keluar hari Sabtu itu. Ahad pun macam tu jugak. Kalau nasib baik aje baru ada masa hari minggu nak luangkan masa bersama-sama. Anak-anak pula awal pagi Sabtu pergi tuisyen and buat hal sendiri. Keluar dengan kawan and macam-macam program la. Boleh dikatakan tiap hujung minggu, memang dia akan tinggal keseorangan di rumah.

Matanya tertancap pada tubuh Amri. Suaminya itu cuma memakai tuala berwarna merah jambu, sambil duduk menghadap cermin meja solek sambil tangan kanannya menyikat rambut. Jel rambut disapu sedikit dan bedak compact Maria disapu ke muka selepas menempek krim sunblock anti UVA + UVB yang baru dibeli semalam.

Hairan Maria melihat suaminya itu dua tiga hari ni. Tidak pernah-pernah nak memakai sunblock, satu perubahan drastik and dramatik gila ni! Apa kes?

Amri tersenyum lebar, haram sikit pun tak maco! Dulu, awal-awal kahwin, senyuman dia tu memang cair kalau perempuan tengok, mak janda pun tak berkelip mata pandang. Apa lagi anak dara, bergetar lutut and bersinar mata tenung dia. Perut kemas and slim nak mati, tough, tak melendut and menggeleber macam sekarang. Boleh kira berapa bijik tayar traktor spare yang ada dekat perut dia waktu ni!

"Morning, sayang. Apa khabar pagi ni?" tanya Amri dengan sebutan perkataan sayang itu dipanjangkan dan dengan nada manja seperti dulu-dulu. Dia menolak kerusi solek berwarna coklat kayu itu dan kemudian bangun menuju ke arah Maria.

Eh, eh, orang tua ni. Apasal? Buang tabiat ke apa? Panggil panggil sayang pulak. Eee, sumpah aku geli! Kalau dulu tak apa. Lagi panjang and manja dia sebut sayang tu, lagi aku suka. Tapi tu dulu, bukan sekarang. Hati aku dah tertutup untuk dia. Aku sendiri tak nak rasa macam ni, bukan aku minta, rasa tu yang datang sendiri, Maria berbisik sendiri. Badannya dijauhkan sedikit daripada Amri yang semakin hampir dengannya.

"Oh, emm.. sihat aje," ucap Maria dengan suara yang sedikit bergetar. Matanya diarahkan ke arah lain, malas mahu berlawan mata dengan suaminya itu. Bibirnya diketap kemas. Amri dilihat sedang menyandarkan badannya, berhadapan, begitu dekat dan rapat dengan tubuhnya itu.

"I turun dulu. Lupa pulak nak siram pokok bunga tadi." Maria berkata laju dan segera membuka langkahnya panjang-panjang menuju ke arah tangga. Namun, tidak sempat dia sampai ke tangga, terasa ada tangan yang memaut pergelangan tangannya, kemas dan agak kuat. Siapa lagi nak buat macam tu kalau bukan suaminya. Terasa debaran di dada, makin kuat daripada awal tadi. Semacam malam pertama la pulak!

"Sayang, janganla turun lagi. Temankan la honey kejap." Lembut Amri berkata, seperti memujuk isterinya itu.

Eh, kenapa aku rasa macam geli aje dengar dia cakap macam tu?? Huu... Maria menarik nafasnya panjang-panjang dan dilepaskan berat.

Maria mengalihkan badannya ke belakang dan kembali menghadap suaminya. Mukanya ditundukkan merenung penuh semangat ke arah lantai. Cari apa entah, pelik jugak. Matanya dikerling sedikit memandang ke arah si suami yang dapat dilihat dari ekor matanya, sedang sibuk merenung ke arahnya. Tiga saat menjeling, matanya kembali merenung lantai.

"Sayang, tengok la muka I. Jangan la macam ni, ya?" Amri bersuara.

Lantak aku la nak buat apa and macam mana pun, kau sibuk apa?? Mulut Maria dimuncungkan dan matanya menjeling tajam muka suaminya. Tiba-tiba aje rasa menyampah dan meluat membuak di dada.

"I turun dulu...." Maria menjawab dengan nada suara mendatar, cuba menahan suara agar tidak kelihatan rasa amarahnya kepada Amri. Pergelangan tangannya yang sudah dilepaskan Amri beberapa ketika tadi, kini dipaut kembali apabila Amri mendengar ucapannya.

"Jangan macam ni, sayang. Abang minta maaf buat sayang macam ni." Amri merayu lagi. Maria mengetap bibir. Mengenangkan rasa sakit dan pedih kerana cinta dan kesetiaannya dipermain, air matanya mula bertakung di tubir mata. Menunggu masa untuk turun laju membasahi pipinya yang semakin cengkung dari sehari ke sehari itu.

Kelopak matanya dikelip-kelipkan laju, mencuba sedaya upaya untuk tidak menunjukkan kelemahannya lagi di hadapan lelaki itu. Mencuba untuk menunjukkan yang dia tabah dan tidak mudah mengalah.

Amri segera menarik Maria ke dalam pelukannya, kemas. Dia perasan yang Maria sedang menahan air matanya daripada jatuh. Dia juga dapat berkata dengan sangat yakin yang Maria menahan tangisannya disebabkan kesalahan yang pernah dilakukannya tempoh hari. Tentu Maria masih sayangkannya kerana masih ada air mata yang tumpah kerananya.

"Abang menyesal sangat buat macam tu, sayang. Abang diam lama hari tu, sebab abang malu dengan sayang. Abang fikir dalam-dalam apa yang patut abang buat. Abang dapat rasa yang abang takkan dapat hidup kalau sayang tak ada di sisi abang, temani abang macam sekarang..." lembut nada suara yang keluar dari mulut Amri. Belakang badan isterinya itu diusap-usap perlahan.

Maria tidak dapat lagi menahan air matanya daripada menitik. Akhirnya, dia mengalah dengan perasaan dan naluri wanitanya. Badan Amri yang terdedah pada bahagian atas tubuhnya itu, dapat merasai beberapa titik air jatuh pada badannya. Terdengar pula sendu Maria menahan tangis.

"Sayang, jangan menangis. Abang sedih tengok sayang sedih." Amri tak jemu-jemu memujuk hati isterinya itu. Dia tahu, hati wanita, lama-lama akan cair semacam aiskrim jugak kalau dipujuk rayu.

Maria diam. Dia membatu di dalam pelukan suaminya itu. Hatinya seakan mencair dengan pujukan suaminya itu, namun jauh di sudut hati, ada suara yang menyatakan yang dosa dan kecurangan yang dilakukan suaminya itu tidak dapat dimaafkan! Apa lagi dengan hanya satu ucapan maaf? Huh! Baik and penyayang gila kalau aku boleh maafkan dia macam tu aje!

"I ada kerja kena buat. I turun dulu." Maria meleraikan pelukan suaminya dan segera keluar dari bilik mereka. Air matanya disapu menggunakan hujung lengan blouse berwarna birunya itu.
Amri ditinggalkan terkebil seorang diri di muka pintu.

Maria turun dengan wajah pucat tidak berdarah. Seiras muka Zack nampak lipas. Dadanya yang berdebar kuat itu, disentuh dan diurut, cuba menarik nafasnya dalam-dalam. Boleh dapat sakit jantung kalau asyik terkejut and berdebar tak tentu hala macam ni! Harapan nak mati kena strok pun tinggi juga! Kaki dan lututnya pun seakan bergetar laju mengikut rentak debaran di dalam hati.

Dia masih tak bersedia untuk menerima apa-apa perubahan baru daripada suaminya itu. Kecurangan lelaki itu seperti jelas terbayang-bayang di ruang matanya.




"I nak pergi majlis rasmi butik Kak Mas pagi ni," kata Maria memecahkan kesunyian antaranya dan suami.

Amri kelihatan diam seribu bahasa sambil menyudu nasi goreng yang agak pedas masakan Maria pagi itu. Dia merenung sebentar ke arah si isterinya yang duduk bertentangan dengannya. Dia pun bertanya kemudiannya.

"Pukul berapa?"

"Sekejap lagi. Dalam pukul sembilan lebih I gerak la. Bolehkan I pergi?" Maria bertanya sambil matanya merenung ke arah jam dinding berbentuk seperti stereng kapal layar yang tergantung di situ. Memang menjadi kebiasaan Maria untuk meminta kebenaran suaminya sebelum keluar untuk ke mana-mana.

"Ya, pergi la. I tak halang." Amri menjawab acuh tak acuh. Mungkin merajuk kerana Maria meninggalkannya begitu sahaja tadinya.

Ceh! Gatal and mengada-ada nak merajuk-rajuk pulak. Aku luku-luku karang baru tau! Maria berkata di dalam hati sambil memandang rimas ke arah suaminya yang bertompok-tompok mukanya itu.

"Kenapa tengok?" Amri bertanya. Mulutnya masih terus-terusan mengunyah nasi goreng. Ini pinggan yang ketiga. Biasa la tu kalau pagi-pagi dia makan banyak. Tapi tengah hari pun banyak jugak! Sebab tu la tayar traktor berlapis-lapis dekat perut tu.

Maria terkelip-kelip memandangnya. Kemudian, Maria mendekatinya dan menyapu pipi tembamnya yang bertompok itu. Suapannya terhenti seketika. Bedak yang tidak rata tadinya cuba diratakan sehingga kelihatan sempurna dan tidak bertompok-tompok lagi seperti sebelumnya.

Amri senyum. Senang hati kerana Maria memanjakannya. Matanya ditutup rapat sementara Maria menyapu-nyapu mukanya itu. Sesekali membuka kelopak matanya sedikit untuk mencuri pandang ke arah isterinya di depan. Cantik dan baik sebenarnya. Tetapi dia pun hairan, kenapa dia sanggup mencurangi isterinya itu?

"Lain kali, kalau tak reti mekap, tak payah mekap, okey? Macam budak kecil. Bedak pun nak harap mak juga ratakan." Maria memerli suaminya.

Mata Amri terbuka luas. Senyum badak air kejap, kemudian dia pun mula menyuap kembali nasi goreng yang masih tidak habis.

"I pergi dulu, sayang. Thanks!" Selepas habis menyuap nasi goreng yang masih berbaki tadinya, Amri pun bangun dan mencapai briefcasenya yang diletakkan di atas kerusi sebelahnya.
Pipi kanan Maria dicium lembut dan dia pun meninggalkan isterinya itu dengan senyuman manis.

Maria tercengang dengan tindakan pantas suaminya, lalu pipinya diusap sendiri. Dia termenung dan terkedu. Kakinya dilangkah perlahan dan dia pun duduk di atas kerusi meja makan di situ.

Sungguh, hati aku benar-benar teruji sekarang. Aku dah penat and jemu fikir tentang masalah aku dengan suami. Aku tak dapat nafikan yang aku masih ada perasaan pada dia walaupun sedikit. Hati, jangan dera perasaan dan jiwa aku lagi! Aku dah tak larat nak tanggung dah. Air mata Maria menitis buat sekalian kalinya.

0 comments:

Post a Comment



 
Blog Promosi Novel Bini Aku Tomboy Ke? dari Arisa Eriza, Terbitan Kaki Novel. Reka Bentuk Oleh www.penulisan2u.my